Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JKNK siasat dakwaan pesakit terima layanan buruk di Hospital Pasir Mas

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) membuat siasatan terhadap rasa tidak puas hati individu yang mendakwa menerima layanan buruk pihak Hospital Pasir Mas, Kelantan.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata pihaknya maklum dengan kenyataan individu terbabit yang tular di media sosial sejak semalam.

"Kita sedang siasat," katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu seorang pengguna Facebook Azimah Abdullah Zawawi dalam coretan panjang di platform media sosial itu meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati susulan kejadian menimpa anaknya yang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Zaini Hussin

Menurutnya, anak lelakinya cedera di bahagian muka dan mulut selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas pada jam 3.45 petang, 14 Jan lalu.

"Anak saya dirujuk ke Klinik Pergigian Daerah dan menerima rawatan dari jam 4.45 petang sehingga jam 9 malam. Dalam masa rawatan tersebut, anak saya ditinggalkan keseorangan dengan mulut ternganga tanpa seliaan selama 30 hingga 40 minit.

"Setelah selesai mendapatkan rawatan jahitan daripada pegawai bertugas, anak saya dirujuk semula kepada doktor di unit kecemasan," katanya yang turut mendakwa anaknya hanya menerima rawatan di atas kerusi roda.

Katanya, apa yang dikesalkan anaknya dibenarkan pulang walaupun dalam keadaan masik teruk dan tidak bermaya dengan alasan katil di wad hospital tersebut penuh.

"Perasaan sebagai ibu terasa amat tidak yakin untuk membawa pulang kerana anak saya masih muntah dan tidak bermaya. Saya merayu agar anak saya dimasukkan ke wad untuk pemantauan hospital. Doktor berkenaan menolak permohonan saya dengan alasan hospital kekurangan katil dan ramai pesakit.

"Berkali-kali saya merayu untuk anak saya ditahan tetapi tidak diendahkan kerana alasannya dia nak menyelesaikan kes lain. Saya juga memberi cadangan agar anak saya dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) memandangkan keesokannya anak perlu dirujuk kepada pakar bedah mulut. Sekali lagi cadangan saya ditolak dengan alasan HRPZ II juga tidak ada katil kosong," jelasnya.

Tambah wanita itu, dia memohon agar Kementerian Kesihatan Malaysia membuat pemantauan terhadap sikap dan tindakan kakitangan yang bertugas.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan Hospital Pasir Mas.

Lihat Komen
ADS