Rayuan tiga rakyat Malaysia yang dihukum gantung sehingga mati di Singapura kerana mengedar dadah akan didengar pada Jumaat ini.
Pannir Selvam Pranthaman, Datchinamurthy Kataiah dan Saminathan Selvaraju, adalah antara antara 12 banduan yang menunggu rayuan mereka didengar di mahkamah itu.
“Keluarga tidak tahu apa untuk diharapkan, kerana mahkamah mempunyai sejarah menyebelahi Jabatan Peguam Negara Singapura (AGC).
“Menafikan keadilan terhadap banduan hukuman mati telah menjadi kelaziman bagi undang-undang dan mahkamah Singapura selama beberapa dekad,” dakwa Angelia Pranthaman ketika bercakap kepada Malaysiakini pagi ini.
Angelia ialah adik perempuan Paneer Selvam.

Datchinamurthy, dijatuhkan hukuman gantung pada 2015, dan hukumannya dijadual dilaksanakan tahun lalu tetapi dia memperoleh penangguhan pelaksanaan daripada Mahkamah Tinggi Singapura sementara menunggu cabaran mahkamahnya terhadap kerajaan Singapura.
Pannir Selvam didakwa kerana mengedar heroin pada 2017 manakala Saminathan didakwa mengedar diamorphine pada 2013.

Sebelum ini, Dobby Chew dari Rangkaian Anti Hukuman Mati Asia dipetik oleh sebuah portal sebagai berkata bahawa rakyat Malaysia berkenaan merayu atas alasan surat peribadi kepada peguam bela mereka dalam beberapa kejadian disalin dan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara tanpa pengetahuan atau kebenaran.
Menurutnya, sebahagian surat itu termasuklah komunikasi khas dengan peguam sedangkan Pejabat Peguam Negara adalah agensi kerajaan yang mendakwa tahanan tersebut.
Chew berkata, tahanan ini pernah memfailkan saman sivil terhadap Pejabat Peguam Negara tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada tahun lalu.
