Parti Bangsa Malaysia (PBM) bahagian Selayang dibubarkan selepas ahlinya dikatakan hilang keyakinan terhadap presiden parti itu Larry Sng (gambar atas).
Ketua PBM bahagian Selayang, JC Jess Choy dalam satu kenyataan berkata Sng mungkir janji untuk memberi laluan kepada pengasas PBM Zuraida Kamaruddin untuk memimpin parti.
“Sng juga ingkar dengan keputusan Persidangan Agung Tahunan PBM pada 1 Okt 2022 yang meluluskan usul secara sebulat suara agar proses peralihan kuasa presiden parti diberikan kepada Zuraida.
"Selain itu, beliau juga telah menyalahgunakan kuasa untuk memecat 13 pimpinan kanan parti termasuk Zuraida tanpa rundingan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PBM,” katanya seperti dilapor FMT.
Choy berkata ahli jawatankuasa PBM bahagian Selayang akan terus kekal sebagai ahli parti dan menyokong enam tonggak agenda parti.
Sebelum ini, PBM Pahang turut membubarkan jawatankuasa negeri dan lapan bahagian yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Lapan bahagian yang dibubarkan ialah Raub, Indera Mahkota, Kuantan, Paya Besar, Temerloh, Bentong, Bera, dan Rompin.
Zuraida adalah bekas naib presiden PKR dan salah seorang yang terlibat dalam Langkah Sheraton 2020, yang menyebabkan keruntuhan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Dia pada mulanya menyertai Bersatu sebelum menyertai PBM.
Zuraida dipecat Disember lalu selepas dia dan rakan-rakannya didakwa gagal menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan PBM pada 19 Dis.
Semasa AGM PBM pada awal Oktober, telah diputuskan bahawa Zuraida - yang merupakan "bakal presiden" parti - secara rasmi mengambil alih kepimpinan parti daripada Sng.
Bagaimanapun, Sng mengatakan dia masih presiden parti mengikut ROS.
Sng kemudian mengisytiharkan mesyuarat majlis tertinggi yang meluluskan peralihan kuasa kepada Zuraida sebagai tidak sah dan menggantung keahlian bekas ahli parlimen Ampang itu dan 12 yang lain.
Pada pilihan raya umum ke-15 lalu, Sng satu-satunya calon PBM yang memenangi kerusi. Zuraida dan timbalan presiden parti Haniza Talha kehilangan wang deposit.
Selepas PRU15, Zuraida dan Haniza menuduh Sng menyalahgunakan kuasa.
