Menteri Sumber Manusia V Sivakumar mengingatkan majikan supaya tidak mengabaikan piawai buruh walaupun kelonggaran diberikan di bawah Pelan Pelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi mempercepatkan kelulusan kuota pekerja asing.
Dalam satu kenyataan hari ini, Sivakumar berkata dia juga mengharapkan kerjasama daripada majikan dan pemain industri bagi memastikan pematuhan aspek asas piawaian buruh dikekalkan.
Ini termasuk faktor seperti pembayaran gaji bulanan kepada pekerja, pelaksanaan gaji minimum dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Aspek -aspek berkaitan piawai perburuhan tidak wajar diabaikan walaupun proses naziran bersama oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan dibuat selepas tempoh enam ke tujuh bulan daripada tarikh kelulusan kuota," kata Sivakumar.
Dia berkata ini adalah penting bagi menjaga imej dan kredibiliti negara tanpa menjejaskan kebajikan dan hak pekerja, seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Sivakumar turut menggesa majikan memohon kuota untuk pekerja asing di bawah pelan berkenaan berdasarkan keperluan sebenar mereka.
"Kementerian akan memastikan bahawa kelulusan kuota yang
diberikan dapat memenuhi keperluan sebenar guna tenaga negara," katanya.
Dia menambah bahawa majikan mesti memastikan dokumen untuk menyokong permohonan kuota adalah sahih kerana terdapat kes penipuan dan penyerahan dokumen palsu.
Selasa lalu, Sivakumar berkata kerajaan akan melaksanakan Pelan Pelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi memudahkan dan mempercepat pengambilan pekerja asing dalam lima sektor dan subsektor kritikal.
Pelan untuk melonggarkan syarat pengambilan pekerja asing itu adalah untuk sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja) dan subsektor.
