Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Isu treler Pulau: Masyarakat perlu tapisan kendiri - pensyarah

Susulan kontroversi treler filem Pulau yang dikatakan berunsur "lucah, pornografi ringan dan tidak sesuai" timbul pertikaian jika saringan daripada Lembaga Penapisan Filem tidak cukup ketat.

Terdapat juga persoalan mengenai sejauh mana kerajaan dapat mengawal capaian akses internet yang mendedahkan pengguna kepada saluran media dengan isi kandungan tanpa penapisan.

Mengulas isu treler Pulau, Pensyarah Bahasa Moden dan Komunikasi, Hani Salwah Yaakup memberitahu Malaysiakini masyarakat memerlukan penapisan kendiri.

Kata Hani (gambar, bawah), orang bukan Islam tidak boleh dihalang untuk berkarya manakala adegan yang didakwa panas dan menghairahkan itu pula lakonan oleh orang bukan Islam.

“Jadi yang kita boleh lakukan adalah kita membuat self-censorship,” katanya.

Hani berkata hal ini kerana Lembaga Penapis Filem (LPF) sudahpun menunaikan tanggungjawabnya untuk mengawal penerbitan filem di Malaysia.

Hani berkata filem itu juga bukan diklasifikasikan sebagai tontonan umum tetapi di bawah klasifikasi PG13, bermaksud penonton berumur di bawah 13 tahun memerlukan pengawasan dan bimbingan ibu bapa atau penjaga ketika menonton.

Klasifikasi ini juga memberitahu filem yang berkenaan mengandungi unsur seram, menakutkan, adegan atau aksi negatif, unsur suspen dan mengejutkan tetapi tidak berlebihan; jalan cerita yang sukar difahami dan unsur yang boleh mengganggu emosi kanak-kanak.

Menurut Hani lagi, memperoleh kelulusan daripada LPF bagi menayangkan sesebuah filem bukanlah hal yang mudah.

“Sebab LPF dianggotai oleh orang yang bukan calang-calanglah.

“Mereka bukan senang untuk meluluskan sesebuah filem itu untuk dikategorikan lucah atau tidak lucah,” katanya.

Tambahnya, melalui pembacaan di media, terdapat adegan panas dalam filem itu telah dipotong oleh LPF.

“Jadi saya rasa mesti ada potongan dalam filem ini,” kata Hani.

Bukan filem lucah - LPF

Sementara itu, Hani menjelaskan treler Pulau yang tersebar dalam talian bukan bawah bidang kuasa LPF.

“Bila dah masuk ke internet bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Jadi LPF tak boleh nak masuk campur urusan di internet,” katanya.

Semalam, Lembaga Penapis Filem (LPF) menjelaskan bahawa Pulau bukan filem lucah.

“Filem Pulau adalah sebuah filem seram dan bukan filem lucah seperti yang digembar-gemburkan,” kata badan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu.

Dalam perkembangan berkaitan, pensyarah Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif Aswara Azlim Ibrahim (gambar, atas) turut membangkitkan mengenai capaian penduduk Malaysia terhadap bermacam kandungan filem di pelbagai saluran media di internet.

"Berdasarkan daripada (kenyataan) timbalan menteri besar, kalau tak silap saya di Kelantan, dia tiada panggung wayang tapi ada Netflix.

“Kalau tengok Netflix maksudnya kandungan lebih teruklah,” katanya.

Jelasnya lagi, pakaian pelakon dalam filem-filem barat lebih mencolok mata berbanding pelakon dalam treler Pulau itu.

Azlim merujuk kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah pada Julai tahun lalu apabila dia menjelaskan kenapa ketiadaan panggung wayang di negeri itu bukanlah satu isu besar.

“Di Kelantan, rakyat sendiri tidak bising tentang isu pawagam. Tak ada (isu) bagi mereka. Sebab mereka boleh tengok, macam saya sebut tadi, dalam Netflix.

“Netflix ini you boleh tengok semua,” kata Mohd Amar.

Tengok dulu, baru nilai

Dalam pada itu, Azlim berpendapat sesuatu filem tidak boleh di sebut sama ada lucah atau tidak hanya dengan melihat treler semata-mata.

“Saya sarankan tengok dahulu filem itu, baru nilai,” kata Azlim.

Pun begitu, Azlim merasakan Pulau hanya sekadar cerita mengenai sekumpulan anak muda yang pergi ke pulau untuk bercuti, berbuat sesuatu yang tidak baik dan kemudian mendapat balasannya.

Sementara itu, Azlim mencadangkan pembikin filem Islam tempatan sebaiknya menghasilkan lebih banyak lagi filem patuh syariah sebagai santapan rohani masyarakat.

Terdahulu, treler Pulau mencetus perasaan tidak puas hati beberapa pihak, termasuk pemimpin PAS, selepas tular trailer rasmi naskhah berkenaan yang didakwa mempunyai unsur lucah dan ‘soft porn’.

Mereka antaranya mempersoal bagaimana filem seperti itu mampu melepasi saringan Lembaga Penapis Filem (LPF) kerana mengandungi kandungan yang didakwa tidak bersesuaian seperti watak lelaki tidak berbaju, wanita berbikini serta babak berpelukan.

Bekas timbalan menteri agama Ahmad Marzuk Shaary (gambar, bawah) turut menyifatkannya sebagai ‘lucah’ dan menyindir pemimpin kerajaan kerana berdiam diri.

GSC sebelum itu memuat naik trailer Pulau ke Youtube.

Menurut rangkaian panggung wayang itu, filem mendapat arahan Euho itu berkisarkan percutian sekumpulan anak muda yang bertukar menjadi mimpi ngeri selepas bermalam di sebuah pulau terpencil.

Sementara itu, pensyarah sambilan yang merupakan bekas pegawai kanan Astro, Nazim Abdul Rahim pula merasakan fungsi treler itu sendiri memang bertujuan menarik perhatian.

Nazim (gambar, bawah) berkata adalah sukar untuk orang berkarya jika terlalu banyak larangan.

“Orang nak berkarya kot. Kalau itu tidak boleh, ini tidak boleh, adalah susah,” katanya.

“Sebagai pengamal media kita sepatutnya memberi hiburan, atas khalayak yang perlu menilai baik atau buruk,” katanya.

Lihat Komen
ADS