Selepas hampir lapan tahun, penduduk kondominium di Sungai Ara Pulau Pinang, memperoleh perintah mahkamah persekutuan untuk membatalkan projek pembangunan perumahan di sebuah kawasan lereng bukit.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah pagi ini sebulat suara mengekalkan keputusan Lembaga Rayuan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
Dua hakim lain ialah hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini dan Rhodzariah Bujang.
Pada 20 Nov 2015, Lembaga Rayuan berkenaan menyebelahi bantahan penduduk berhubung kelulusan projek tersebut dan membatalkan kebenaran merancang oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Bagaimanapun, pemaju Sunway City (Pulau Pinang) Sdn Bhd memohon Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Lembaga Rayuan tersebut dan mengembalikan kelulusan yang diberikan kepada pemaju pada 29 Mei 2017
Penduduk kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan, yang menolak rayuan itu pada 7 Mei 2021.
Mereka kemudiannya membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Semasa prosiding dalam talian hari ini, mahkamah persekutuan memerintahkan dua responden dalam rayuan itu - pemaju dan MBPP - membayar kos keseluruhan RM300,000 kepada penduduk. Bagaimanapun, tiada perintah kos dibuat terhadap responden ketiga, Lembaga Rayuan.
Dalam keputusan yang dibacakan oleh Nallini, panel hakim itu berkata terdapat keperluan melaksanakan pendekatan holistik dalam membuat keputusan berhubung pembangunan hartanah, khususnya di kawasan tanah bukit dan cerun curam, bagi memastikan pembangunan yang mampan.
Ia menegaskan PBT itu terkeluar daripada empat bidang kuasa yang ditetapkan di bawah Seksyen 22 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
Seksyen 22 menyatakan bahawa permohonan untuk kebenaran merancang - seperti pembangunan yang menjejaskan puncak bukit atau cerun bukit, di kawasan yang ditetapkan sebagai sensitif terhadap alam sekitar - mesti mengambil kira sebarang bantahan yang dibangkitkan oleh orang awam.
“Berkenaan dengan kemasukan seksyen 22(2A) (ke dalam Akta), pembangunan yang menjejaskan puncak bukit atau lereng bukit bukan lagi sekadar isu tadbir urus tempatan atau negeri. Ia juga merupakan isu peringkat persekutuan dan nasional.
“Pemasukan peranan kerajaan persekutuan dalam perancangan bandar dan desa akan menggalakkan penyelarasan antara pihak berkuasa tempatan, pihak berkuasa peringkat negeri dan kerajaan persekutuan, sekali gus memastikan pembangunan berlaku secara seimbang dan selaras dengan perkongsian tanggungjawab dan prinsip bahawa kepentingan awam mendahului kepentingan swasta dalam penggunaan dan pembangunan tanah,” kata Nallini.
Dia berkata mahkamah tinggi sebelum ini terkhilaf kerana gagal memahami kepentingan sebenar Rancangan Struktur Pulau Pinang 2020, yang mengandungi larangan jelas terhadap penggunaan tanah bukit seperti yang ditetapkan untuk sebarang pembangunan termasuk perumahan, hotel, resort, komersial dan industri, malah aktiviti pertanian.
“Ini selaras dengan objektif keseluruhan Rancangan Struktur. Pengecualian kepada larangan itu mesti ditafsirkan secara bertujuan dan terhad supaya tidak terkeluar daripada Rancangan Struktur dan objektifnya untuk memulihara tanah bukit, mencegah kemerosotan selanjutnya, dan mengekalkan keseimbangan ekologi.
"Atas sebab-sebab di atas, kami membuat kesimpulan bahawa kelulusan pihak berkuasa tempatan terhadap permohonan Sunway untuk kebenaran merancang adalah ultra vires dan tidak sah," kata Nallini.
Penduduk Sungai Ara diwakili pasukan guaman yang diketuai oleh Gurdial Singh Nijar.
Peguam Christina Siew dan Wang Kang Ale mewakili Sunway City, manakala Karin Lim dan M Murgan mewakili MBPP.
Projek berkenaan, yang dinamakan sebagai Sunway Hills, terletak 250 kaki di atas paras laut dan pada kecerunan 25 darjah.
Pada 2012, MBPP meluluskan 'projek khas' kepada Sunway City, dengan membenarkan pembinaan 600 unit pangsapuri dan banglo bertingkat di atas tanah bukit itu.
