Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sistem kesihatan tak boleh diskriminasi pasangan LGBT - kumpulan advokasi 
Diterbitkan:  Jan 20, 2023 1:37 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

Sebuah kumpulan advokasi yang mendukung kesetaraan gender menolak pandangan Jabatan Mufti Selangor yang melarang pemberian ubat profilaksis prapendedahan (PrEP) untuk mencegah HIV kepada pasangan homoseksual.

Saksi, sebuah inisiatif Pertubuhan Pertolongan Wanita atau WAO,  berkata melarang pemberian PrEP kepada golongan LGBT atas alasan moral tidak dapat diterima.

“Jika menafikan insulin terhadap pesakit kencing manis dianggap kejam bagi kamu, maka menafikan PrEP kepada golongan LGBT juga patut diberikan respons sama.

“Tiada tempat untuk sikap diskriminasi dalam sistem kesihatan kita,” kata Saksi di Twitter.

Menjawab soalan di laman webnya, Jabatan Mufti Selangor berkata pengambilan atau pemberian PrEP diharuskan kepada pasangan suami isteri yang salah seorang daripada mereka dijangkiti HIV.

“Adapun pemberian kepada mereka yang diketahui mengamalkan cara hidup homoseksual adalah dilarang kerana ia dianggap sebagai bersubahat di dalam perkara dosa dan kemaksiatan,” kata jabatan itu.

Jabatan itu mengulas soalan berkaitan hukum pengamal perubatan memberikan ubat PREP kepada individu yang mengamalkan homoseksual.

Penyoal juga mendakwa kajian menunjukkan tingkah laku homoseksual tetap tinggi dan makin meningkat dengan penggunaan PREP.

Kementerian Kesihatan (KKM) pada pada Hari Aids Sedunia pada 1 Disember lalu mengumumkan akan memperluaskan penyediaan PrEP di Klinik Kesihatan mulai tahun ini.

Menegaskan pakar-pakar Islam telah dirujuk, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata program rintis itu untuk menguji sama ada langkah itu boleh mengurangkan jangkitan HIV.

Penularan utama HIV di Malaysia ialah melalui jangkitan seksual, kebanyakannya terdiri daripada hubungan seks sesama lelaki.

Lihat Komen
ADS