Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Usah biar pelampau etno-agama salah guna istilah 'sensitiviti'
Diterbitkan:  Jan 21, 2023 2:38 PM
Dikemaskini: 6:39 AM

Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau menyeru rakyat Malaysia yang beraliran sederhana supaya tidak membenarkan perkataan "sensitiviti" disalahgunakan oleh mereka yang gemar menyemai sikap melampau dan perpecahan dalam masyarakat.

Menurutnya, rakyat memerlukan lebih rasa hormat dankasih sayang antara satu sama lain untuk membina sebuah negara yang kukuh dan bersatu padu.

"Kita harus empati dan menyesuaikan terhadap keperluan masing-masing, bukan sahaja semasa perayaan bahkan sepanjang tahun.

"Kita mesti menuntut semula perkataan "sensitiviti" yang disalahgunakan oleh golongan fanatik etno-agama sebagai alasan untuk menyekat kebebasan orang lain dan tunduk kepada mereka sepanjang masa," katanya dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina, hari ini.

Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) itu berkata, sensitiviti harus menjadi kualiti yang dipupuk dalam diri dan bukan memintanya daripadaorang lain agar sesuai dengan ego individu atau kumpulan tertentu.

Jelasnya, dalam budaya Orang Asal pelbagai etnik di Borneo, meminum tuak atau wain adalah sebahagian daripada upacara perayaan Pesta Menuai, Keamatan, Gawai dan perayaan lain.

Namun katanya minuman itu tidak ditawarkan kepada keluarga atau rakan-rakan beragama Islam kerana menghormati agama mereka.

"Adakah mereka mengharapkan kami tidak menghidangkan alkohol dalam perayaan kami, kerana mereka menghormati budaya kami. Hubungan sensitiviti dua hala ini ialah maksud sebenar sensitiviti.

"Adalah dorongan manusia untuk berasa tidak selamat apabila kita mendapati orang lain berbeza daripada kita atau tidak bersetuju dengan kita. Jika kita kurang daya tahan, maka kita sentiasa merasa terancam terhadap kepercayaan, budaya atau institusi kita hanya kerana orang lain tidak berfikir, bercakap, berkelakuan atau berpakaian seperti kita.

"Orang yang kurang daya tahan cenderung melihat dunia hitam dan putih dan percaya kepada teori konspirasi," katanya yang juga pengerusi Yayasan Windom.

Ahli Parlimen penggal kelima itu berharap semua perayaan di negara ini disambut tanpa diganggu gugat oleh individu atau kumpulan yang bersikap melampau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS