Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPM: Bengkel SPM berasingan bagi elak ganggu pelajar sambut Tahun Baru Cina
Diterbitkan:  Jan 24, 2023 9:41 PM
Dikemaskini: 1:41 PM

Kementerian Pendidikan menegaskan tiada isu diskriminasi terhadap semua calon yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam program yang telah dirancang oleh pihak sekolah sebagaimana yang didakwa berlaku di sebuah sekolah di Johor.

Sebaliknya, kementerian itu berkata bengkel SPM yang diadakan di sebuah hotel di Johor Bahru telah dibahagikan kepada dua sesi berasingan bagi mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

KPM dalam kenyataan berkata bengkel tersebut juga diadakan atas inisiatif Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru yang telah menganjurkan dialog prestasi yang kemudiannya disusuli dengan penganjuran bengkel tersebut oleh pihak sekolah.

“Laporan awal mendapati bahawa bengkel tersebut merupakan salah satu dari pelbagai perancangan pihak berkaitan bagi memastikan semua murid tanpa mengira kaum dapat membuat persediaan menjelang peperiksaan SPM.

“Pada 19 dan 20 Januari 2023, Bengkel Persediaan SPM untuk calon telah dilaksanakan dahulu di Hotel Suasana, Johor Bahru melibatkan 30 orang calon yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta melibatkan calon GALUS (gagal-lulus) dalam beberapa mata pelajaran lain.

“Bengkel yang dilaksanakan diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina,” katanya.

Bagaimanapun, KPM tidak menyebut tentang etnik atau agama pelajar yang menyertai bengkel pada 19 dan 20 Jan lalu, selain tidak mengesahkan atau menafikan kumpulan pelajar terbabit semuanya beragama Islam.

Bagaimanapun, KPM berkata bengkel kedua telah dirancang pada 26 dan 27 Jan bagi mereka yang tidak menyertai sesi pertama.

“Hasil siasatan mendapati tiada isu diskriminasi terhadap semua calon yang akan menduduki SPM dalam program yang telah dirancang oleh pihak sekolah dengan melibatkan pegangan agama berbeza sebagaimana yang didakwa,” tambahnya.

Bagaimanapun, penjelasan kementerian itu tidak konsisten dengan penjelasan yang dikatakan dibuat oleh guru besar sekolah itu seperti yang dikongsikan di media sosial.

Semalam seorang pengguna Twitter @sangria200 mendakwa sebuah sekolah di Johor Bahru mengadakan bengkel peperiksaan SPM dengan mengumumkannya hanya untuk pelajar beragama Islam dengan mengatakan ia bagi mata pelajaran Agama Islam sahaja.

Menurutnya, hanya selepas itu barulah didedahkan bahawa bengkel itu meliputi mata pelajaran seperti Kimia dan Matematik Tambahan dan pelajar bukan Islam langsung tidak dimaklumkan mengenainya.

Pemilik akaun Twitter itu, Anne Louis, berkata apabila ibu bapa membangkitkan perkara itu dalam kumpulan Whatsapp persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah, pengetua segera menutup perbualan, hanya membenarkan mesej daripada pentadbir dalam kumpulan dan membuat tetapan menyembunyikan mesej.

Difahamkan, PIBG telah menghantar pertanyaan kepada pengetua dan mereka sedang menunggu jawapan.

Tangkapan skrin yang disiarkan menunjukkan bahawa pengetua sekolah menjawab bahawa bengkel itu diadakan untuk memastikan pelajar Melayu yang gagal tidak menjejaskan pencapaian sekolah dalam SPM.

“Pencapaian pelajar Melayu amat membimbangkan. Seramai 40 pelajar gagal dan tidak layak mendapat sijil SPM sekiranya tiada usaha membantu mereka,” pengetua itu didakwa berkata.

Tambah mereka, sebarang kegagalan mencapai sasaran SPM akan dipersalahkan kepada guru besar.

Guru besar juga menafikan wujudnya unsur perkauman.

Mereka juga menjelaskan bahawa bengkel itu dibayar dengan sumbangan daripada ibu bapa dan orang perseorangan.

Nama dan nombor telefon mereka dalam perbualan WhatsApp itu telah disunting dan Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan mesej itu dengan pihak sekolah.

Pada perbualan itu, tidak disebutkan bengkel kedua untuk pelajar bukan Melayu, atau penjelasan bahawa bengkel itu akan dibahagikan kepada dua sesi untuk mengelak mengganggu pelajar yang menyambut Tahun Baru Cina.

Sebelum penjelasan Kementerian Pendidikan berhubung perkara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, tindakan pihak sekolah yang didakwa menafikan orang bukan Islam menghadiri bengkel itu bercanggah dengan prinsip Ihsan dan keadilan dalam konsep Malaysia Madani .

Kata Hassan, peluang berjaya dalam pendidikan mesti terbuka kepada semua rakyat yang berbilang kaum dan agama.

Dia juga menggesa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk menagani perkara itu, dan tidak menyerahkannya kepada Jabatan Pendidikan Johor sahaja.

Lihat Komen
ADS