Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bakar Quran: PAS ajak berarak ke kedutaan Sweden
Diterbitkan:  Jan 25, 2023 11:41 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Dewan Ulama PAS menyeru umat Islam di negara ini bersolidariti bagi membantah penghinaan terhadap agama Islam susulan insiden membakar al-Quran di Stockholm, Sweden, baru-baru ini.

Ketuanya Ahmad Yahaya berkata, bantahan akan berlangsung dengan perarakan dari Menara Berkembar Petronas (KLCC) ke Kedutaan Sweden pada Jumaat ini.

"Sewajarnya kerajaan menyuarakan amaran yang tegas ini melalui jalan diplomatik yang ada. Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang insiden provokatif apatah lagi menghina kesucian agama Islam.

"Saya juga menyeru umat Islam supaya turun bersolidariti bersama-sama membantah penghinaan terhadap agama Islam ini pada Jumaat ini, 27 Januari di KLCC berarak ke kedutaan Sweden. 

Rasmus Paludan

“Sudah sampai masanya umat Islam menyuarakan bantahan keras terhadap kerajaan Sweden ini.

"Saya juga ingin menggesa kerajaan supaya mengusulkan suatu mesyuarat tergempar OIC (pertubuhan kerjasama Islam) bagi membincangkan tindakan susulan yang lebih meluas melibatkan negara-negara Islam yang lain. 

“Setiap ruang diplomatik perlu dioptimum bagi membantah tindakan tersebut dengan tegas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dia tidak menyatakan acara itu akan bermula pada pukul berapa. Bagaimanapun kebiasaannya demonstrasi PAS berlangsung selepas solat Jumaat.

Pada 21 Jan lalu ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan bertindak provokasi dengan membakar naskhah al-Quran.

Malaysia melalui kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengutuk tindakan Islamofobia ahli politik itu dan menyifatkan provokasi besar kepada umat Islam di seluruh dunia.

Sementara itu Ahmad turut mengulangi gesaan agar kerajaan memanggil kedutaan Sweden.

Diamenyifatkan insiden itu seolah-olah mendapat restu kerajaan Sweden atas nama kebebasan, sedangkan ia merupakan provokatif dan menghina Islam.

"Tindakan membakar Al-Quran oleh ahli politik berdarah Sweden-Denmark, Rasmus Paludan bukanlah kali pertama berlaku. 

“Tahun lalu tindakan provokasi yang sama telah dilakukan sehingga mendorong kebangkitan daripada umat Islam," jelasnya.

Terdahulu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata tindakan politikus ekstrem itu melampau dan terdesak untuk mendapatkan perhatian semata-mata.

"Justeru sewajarnya tindakan itu dikutuk dan dikecam bukan sahaja oleh negara umat Islam malah seluruh masyarakat dunia yang bertamadun serta inginkan keamanan dan keharmonian.

"PAS berharap kerajaan negara tersebut mengambil tindakan tegas terhadap pelaku berkenaan sebagai langkah kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan gejala seumpamanya berleluasa malah dibimbangi akan menjemput reaksi dan tindak balas yang memburukkan lagi keadaan," katanya.

Lihat Komen
ADS