Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Saya membaca beberapa hantaran dalam portal Finance Twitter dan The Coverage yang kelihatan pro-DAP dan anti-PN. Pada mulanya saya tak hirau sangat. Biasalah, itu strategi media masing-masing.

Namun, lama-kelamaan saya perhatikan semakin banyak spin (putar belit) yang dibuat oleh kedua-dua portal berkenaan.

Misalnya spin yang terbaharu ialah kononnya kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin telah songlap duit perolehan vaksin sebanyak RM10 bilion semasa tempoh darurat.

Saya terkejut kerana saya tahu peruntukan siling yang diluluskan oleh kerajaan (kemudiannya oleh parlimen) untuk perolehan vaksin menggunakan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) hanyalah RM5 bilion.

Macam mana kerajaan boleh songlap RM10 bilion kalau peruntukannya hanya RM5 bilion? Ini tidak masuk akal.

Kalau spin atau putar belit ini tak dirungkai, ramai yang akan terpengaruh dengan perkara yang tidak betul.

Untuk merungkai spin ini pula tidaklah susah. Isu perolehan vaksin telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam beberapa sesi pada 2021.

Gambar fail

Laporan PAC itu adalah dokumen awam yang boleh diakses di laman web Parlimen. Kita oleh baca laporan ini secara terperinci.

Apa yang dinyatakan dalam laporan PAC ini?

Sehingga 21 Julai 2021 - iaitu tarikh darurat 2021 berakhir - kerajaan telah membuat pesanan bekalan vaksin yang mencukupi untuk 120 peratus penduduk (sila rujuk halaman 32 Laporan PAC).

Sehingga 21 Julai 2021, sebanyak RM1.027 bilion daripada peruntukan siling RM5 bilion telah dibelanjakan (sila rujuk halaman 35 Laporan PAC).

(Nota: Muhyiddin telah meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos 2021.)

Dilaksanakan secara teratur

Ini faktanya. Jadi, dari mana portal Finance Twitter dan The Coverage yang pro-DAP dapat angka RM10 bilion itu?

Kedua-dua portal pro-DAP itu juga menuduh kerajaan PN pimpinan Muhyiddin membuat perolehan vaksin secara berlebihan dan membazir semasa tempoh darurat.

Perolehan yang melebihi keperluan itu kononnya dibuat dengan sengaja untuk songlap duit RM10 bilion.

Adakah perolehan vaksin yang mencukupi untuk 120 peratus penduduk suatu pembaziran? Jawapannya: bukan membazir.

Kenapa? Kerana Muhyiddin - atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada masa itu - tahu bahawa rakyat memerlukan booster shot atau dos penggalak. Justeru kerajaan perlu menyediakan vaksin bukan untuk 100 peratus penduduk, tetapi lebih daripada itu.

Kerana itu sebaik sahaja Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berakhir, KKM telah melaksanakan PICK-Booster yang menyasarkan 23 juta penduduk menerima dos penggalak.

Sehingga kini 50 peratus penduduk telah menerima dos penggalak pertama dan 2.2 peratus telah menerima dos penggalak kedua.

Muhyiddin Yassin

Apa rumusan PAC mengenai perolehan vaksin semasa tempoh darurat?

Secara ringkasnya PAC merumuskan bahawa urusan perolehan vaksin telah dilaksanakan secara teratur mengikut tatacara kewangan yang dibenarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

PAC juga berpuas hati dengan harga perolehan vaksin daripada pelbagai portfolio oleh kerajaan yang didapati adalah munasabah. PAC juga mengakui proses perolehan vaksin bertambah proaktif dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) pada Okt 2020.

Selain itu, PAC juga berpandangan penggunaan dana KWAN bagi tujuan perolehan vaksin adalah selaras dengan objektif penubuhan badan itu yang tertakluk kepada perbelanjaan yang berhemah.

PAC juga membuat beberapa pemerhatian lain untuk tujuan penambahbaikan (rujuk halaman 68-71 Laporan PAC).

Media pro-DAP akan terus melakukan spin terhadap PN. Ini kerana apabila BN telah berkawan dengan PH, maka PN menjadi pencabar tunggal yang utama kepada DAP.

Spin mereka boleh kita rungkai dengan fakta. Maka rajin-rajinlah kita mencari fakta.

Let's unspin the spin.


MARZUKI MOHAMAD ialah bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri kelapan Malaysia, Muhyiddin Yassin.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS