Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertikaian dengan bank: Peniaga rayu campur tangan Kementerian Kewangan

Seorang ahli perniagaan menulis surat kepada Kementerian Kewangan untuk campur tangan susulan pertikaian dengan sebuah bank tempatan.

Dia mendakwa sebuah bank tempatan yang dimiliki kementerian itu bersama-sama dengan pihak penerima dan pengurus (receiver & manager) cuba menjual hartanah milik syarikatnya dengan harga di bawah pasaran atas alasan terdapat tunggakan bayaran pinjaman daripada bank itu.

Dr Gurpreet Singh, 37 pengusaha sebuah kolej di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur berkata bahawa syarikatnya mendapatkan pinjaman sebanyak RM18 juta daripada bank itu pada tahun 2014 atas tujuan operasi harian kolej.

"Kami membuat bayaran bulanan sehingga hujung tahun 2018 sebelum menghadapi sedikit kesukaran dalam pengurusan kolej. Sehingga tahun 2018 kami telah membayar balik hampir RM10 juta.

"Namun, operasi kami terjejas sedikit pada awal tahun 2019 mengakibatkan kami tidak membuat bayaran. Keadaannya menjadi semakin teruk pada tahun 2020 kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Setelah PKP ditamatkan kami telah bercadang untuk membuka dan belajar secara fizikal bermula pada bulan Januari 2022. Malangnya, kami tidak menjalankan operasi kami, setelah bank tersebut melantik seorang penerima dan pengurus (R&M) pada bulan Januari 2022 yang mengunci kolej mengakibatkan kami tidak dapat meneruskan operasi kami," katanya.

Berdasarkan amalan perbankan, lantikan pihak penerima dan pengurus (R&M) bertujuan menguruskan atau melupuskan aset-aset cagaran pelanggan melalui perjanjian debentur yang dimeterai antara bank dan pelanggan pada awal kontrak.

Sementara itu, Gurpreet mendakwa bank berkenaan telah melantik R&M kedua pada bulan September 2022 setelah pihaknya memfailkan kes di mahkamah kerana tidak berpuas hati dengan tindakan-tindakan R&M yang pertama.

Terjejas teruk akibat PKP

"R&M yang kedua juga tidak membenarkan kami menjalankan operasi dengan mengunci kolej. Pada awal bulan Disember kami menerima surat daripada R&M yang mengatakan bahawa dia telah membuat keputusan untuk menjual dua hartanah untuk menyelesaikan baki pinjaman kami.

"Kami terkejut kerana dia bercadang menjual dua hartanah itu bernilai RM37 juta pada harga hanya sekitar RM11 juta sahaja.

"Setelah kami menolak cadangan itu, kami menerima panggilan dari bank berkata bahawa pihak bank bersetuju dengan cadangan R&M menjual hartanah kami dengan harga jauh rendah daripada harga pasaran,” katanya sambil menjelaskan bank juga tidak mahu menerima rayuan pihaknya meminta tempoh enam bulan lagi untuk menyelesaikan pinjaman itu.

Kata Gurpreet, dia merasakan keputusan bank menjual hartanah itu sebagai tidak adil kerana telah menjelaskan lebih 50 peratus daripada hutang keseluruhan.

"Semua sektor perkhidmatan terjejas teruk ketika PKP. Bank itu di bawah Kementerian Kewangan sepatutnya membantu membangunkan ahli peniaga seperti kami. Bukannya, bertindak hanya tumpu kepada keuntungan sahaja.

"Saya bukan nak minta batalkan pinjaman saya. Hanya meminta tempoh enam bulan untuk membayar balik baki tunggakan. Harap kementerian kewangan memberi peluang kepada kami menyelamatkan hartanah kami daripada bank itu," katanya.

Dihubungi kemudian, seorang wakil bank berkenaan berkata bahawa pihak bank tidak akan memberi sebarang komen.

"Kes ini sedang dalam prosiding undang-undang. Oleh itu, kami percaya bahawa dari segi undang-undang, tiada pihak berhak untuk mengulas mengenai perkara ini di mana sebarang pelanggaran akan mendedahkan pihak yang bertanggungjawab kepada penghinaan mahkamah, peraturan subhakim.

"Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan, bank mempunyai kewajipan ketat untuk merahsiakan dan hendaklah mengambil semua tindakan yang perlu untuk memelihara dan melindungi haknya termasuk membuat laporan polis," katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi kementerian kewangan untuk mendapatkan maklum balas lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS