Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | "Aku ni," kata seseorang dengan muka separa ketawa, "dah tak ada harap apa-apa dah pada Umno." Tanpa perlu menunggu ditanya, dia meneruskan lagi kata-katanya. "Apabila orang macam Razlan (Rafii) dan Armand (Azha Abu Hanifah) pun jadi ahli MT (Majlis Tertinggi), habislah..."

Perbualan itu berlaku bukan berlaku semalam atau kelmarin. Atau sebulan dua ini. Tapi sudah agak lama iaitu sebelum Umno bergelora seperti sekarang.

Umno ialah sebuah parti yang mempunyai sejarah politik yang sangat panjang. Dengan tidak mengambil kira detik dia diharamkan dan kemudian dihidupkan semula selepas 1988, pelbagai pahit manis dilalui parti berkenaan.

Sama seperti makhluk lain dalam alam ini, Umno juga ada pasang surutnya. Sesekali - atau sejak akhir-akhir ini - ia kelihatan surut dan terus surut.

Justeru adalah sangat mudah difahami apabila ada pelbagai pihak atau individu berikhtiar dengan cara masing-masing untuk 'menyelamatkan' Umno.

Dan seperti apa yang terjadi dalam politik, setiap seorang daripada mereka akan mengaku jalan yang dipilih itulah penyelesaian hakiki kepada masalah Umno.

Tanyalah Ahmad Zahid Hamidi, tanya juga Mohamad Hasan dan lain-lain. Tanya juga 'orang terbuang' seperti Khairy Jamaluddin dan Noh Omar. Kemudian soalkan orang yang 'terawang-awang' nasibnya seperti Hishammuddin Hussein dan lain-lain.

Ayat dan dalil mereka mungkin berbeza tapi mauduknya tetaplah sama - menyelamatkan Umno. Betul atau tidak, ia adalah perkara kedua.

Simpati dari parti lain

Kemudian datanglah takdir yang ditetapkan Tuhan. Khairy Jamaluddin pun tercampak dari parti yang disayang dan tempat dia mencurahkan taat setia. Turut menerima nasib sama ialah seorang tokoh yang garang - dan selalu menghiburkan - dari Selangor, Noh.

Beberapa pemimpin lain pula digantung keanggotaan mereka. Sudah tentu nama yang terbesar dalam kategori itu ialah Hishammuddin, diikuti dengan Shahril Hamdan.

Untuk berlaku adil dan menjaga hati, bolehlah dianggap nama-nama lain pun besar juga. Jika tidak mana mungkin mereka boleh mendapat tempat dan jawatan dalam parti, kan?

Lalu beberapa detik selepas tersebar berita tentang pemecatan atau penggantungan tersebut, dunia media sosial heboh dengan pelbagai reaksi. Sesetengahnya berasa puas dan gembira, manakala yang lain bersimpati.

Ketika sesetengah pihak yang berdebar-debar jika ada antara mereka yang berasa perjuangan mereka boleh diteruskan bersama NGO Muafakat Nasional Annuar Musa, perkembangan Umno itu menjadi lebih menarik apabila kita tersedar pihak yang menyatakan rasa kesal serta simpati itu ialah kalangan orang parti lain.

Kebanyakannya berasa terkilan akan nasib yang menimpa Khairy.

Di situlah salah satu tuah bekas ketua Pemuda Umno berkenaan. Dia membina laluan politik dengan baik dan tersusun. Pencitraannya berjalan dengan kemas dan mudah memikat ramai termasuk dalam kalangan penyokong parti yang memusuhi Umno.

Pedulilah sama ada dari Pakatan Harapan, Perikatan Nasional atau BN sendiri. Khairy mempunyai kelas tersendiri. Maka layaklah dia bertabah dengan nasib yang ditimpakan ke atasnya semalam dengan kata-kata azimat "unbowed, unbent, unbroken" itu.

Ramai sayang Umno

Khairy itu sendiri barangkali suatu enigma, justeru perbincangan kebanyakan orang selepas pemecatan berlaku lebih banyak ke arah dia.

Tokoh lain pun diperkatakan orang juga, bukannya dilupakan langsung. Orang masih terkenang akan Noh, juga Hishammuddin. Lebih daripada itu orang juga tidak melupakan 'panglima Pasir Salak' iaitu Tajuddin Abdul Rahman.

Cuma Khairy dilihat lebih menjadi perhatian, juga lebih dikasihani sehinggakan ramai juga yang terlupa bagaimana dia dibingkaikan semasa bapa mentuanya menjadi perdana menteri suatu ketika dulu.

Juga bagaimana dia lebih dikenali sebagai "budak tingkat empat" berbanding naib ketua Pemuda Umno ketika itu. Juga keranggiannya - bersama watak-watak Pemuda Umno - melawan gerakan Bersih suatu ketika dulu.

Selepas beberapa tahun Khairy menjadi jawapan sekali gus harapan buat Umno. Dia diberikan simpati, dikasihi dan dikasihani, selain dipuji dan puja oleh begitu ramai orang. Tidak ketinggalan orang yang berada di sisi yang bertentangan dengan Khairy atau Umno.

Kerana Khairy jugalah kita baru tersedar bahawa rupa-rupanya begitu ramai orang yang menyayangi Umno dalam diam-diam.

Selain menunjukkan keprihatinan masing-masing, gigihlah mereka memberikan pandangan dan cadangan mengenai cara yang bagaimana harus diambil oleh parti itu untuk meneruskan kelangsungan hayatnya.

Mereka terlupa bahawa sebenarnya Umno masih punya ramai tokoh berkaliber, berpotensi cerah dan tetap menjanjikan sesuatu, termasuk orang seperti Razlan dan Armand.

Jika mahu diperkukuhkan lagi usaha itu, Umno boleh memberikan tempat yang lebih sesuai dan peranan yang lebih signifikan kepada Azwan Bro juga.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang malam tadi bermimpi berbual-bual dengan seorang bekas perdana menteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS