Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ tak akan rayu pemecatan
Diterbitkan:  Jan 30, 2023 10:05 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Khairy Jamaluddin tidak akan membuat rayuan terhadap pemecatannya daripada Umno kerana tidak melihat ada gunanya berbuat demikian.

“Merayu bermakna merayu terhadap entiti yang sama yang secara unilateral dan secara ringkas telah menghukum saya daripada parti, jadi tidak ada gunanya,” katanya kepada BFM pagi ini.

Khairy berkata dia berbincang dengan Noh Omar dan Shahril Hamdan - yang masing-masing turut dipecat dan digantung oleh kepimpinan parti - sebelum membuat keputusan ini.

"Niat mereka (kepimpinan) adalah untuk membuang kami (daripada parti)," katanya.

Menurut Khairy lagi, dia diberitahu tentang pemecatannya oleh rakan-rakannya dalam Majlis Tertinggi Umno, beberapa jam sebelum dia "secara rasmi" mengetahuinya melalui media sosial.

Dia mengulangi bahawa pemecatannya, serta penggantungan beberapa ahli Umno lain, adalah tidak adil, kerana mereka tidak diberikan surat tunjuk sebab, dan tidak diberi peluang untuk menghadap jawatankuasa tatatertib untuk menjelaskan diri mereka.

Mengenai dakwaan bahawa dia dipecat kerana mengkritik pimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Khairy berkata dia hanya cuba mengatakan ada "hari yang lebih baik di hadapan" untuk parti.

"Maksud saya bukan menentang parti atau keahlian, tetapi kepimpinan. Saya tidak cuba menjatuhkan parti, (saya cuma) memberi harapan kepada rakyat," katanya kepada penyampai Shazana Mokhtar.

Ditanya mengapa dia dipecat manakala yang lain hanya digantung kerana melakukan "kesalahan yang serupa, atau lebih teruk", Khairy berkata ia adalah kerana Zahid memerlukan sokongan yang cukup di Parlimen.

"Perbezaan antara (Ahli Parlimen Sembrong) Hishammuddin (Hussein) dan saya ialah saya tidak bukan ahli parlimen. Kalau Hishammuddin bukan ahli parlimen, dia akan dipecat juga.

"Ahmad Zahid tahu bahawa dia memerlukan angka yang mencukupi untuk menyokong kerajaan," katanya, merujuk kepada kedudukan Ahmad Zahid dalam kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Minggu lalu, Hishammuddin turut digantung selama enam tahun daripada Umno.

Khairy, yang juga bekas menteri kesihatan, mendakwa wujud pilih kasih dalam Umno, dari segi bekas perdana menteri Najib Abdul Razak masih dikekalkan keahlian Umno walaupun disabitkan kesalahan dalam kes SRC International.

“Perlembagaan Umno mengatakan bahawa jika anda didakwa di mahkamah, anda perlu mengosongkan jawatan anda, tetapi kita tahu itu tidak dipatuhi dalam kes Najib, dia sebagai ketua Umno Pekan.

"Pilih kasih wujud dalam parti bergantung kepada sokongan individu terhadap kepimpinan parti, atau digunakan untuk parti."

Khairy menegaskan dia tidak menyimpan dendam peribadi terhadap Ahmad Zahid, tetapi hanya mahu dua jawatan teratas Umno dipertandingkan.

"Saya masih menganggap dia (Ahmad Zahid) sebagai kawan, mungkin dia (Ahmad Zahid) tidak fikir begitu lagi. Saya cuma mahukan pertandingan terbuka kerana dia menerajui parti dalam pilihan raya paling buruk untuk parti itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) .

"Maksud saya sangat mudah. Jika Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) diminta berundur selepas kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, dan jika Najib diminta berundur selepas 2018, paling tidak anda (Ahmad Zahid) boleh lakukan, jika anda tidak mahu berundur, adalah membenarkan pertandingan terbuka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS