PERBICARAAN 1MDB l Timbalan pendakwa raya (DPP) Ahmad Akram Gharib menyifatkan ketua pasukan pendakwaan ad hoc 1MDB Gopal Sri Ram ibarat "bapa buat kami semua".
Pendakwa raya itu berkata demikian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ketika memohon untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan pagi ini berhubung kes rasuah 1MDB yang membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.
Semasa prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, Ahmad Akram berkata berikutan kematian Sri Ram, semalam, pasukan pendakwaan memohon penangguhan kerana mereka perlu membincangkan mengenai pengagihan semula tugasan bagi kes itu.
DPP itu berkata dia juga memohon perbicaraan yang ditetapkan esok ditangguhkan dan hanya disambung semula pada Khamis minggu ini, kerana seluruh pasukan pendakwaan ingin memberi penghormatan terakhir mereka kepada mendiang pagi esok sebelum jasadnya disempurnakan di Shah Alam, Selangor, petang esok.
“Gopal Sri Ram adalah ketua pasukan kami dan dia ibarat bapa kami semua. Kami ingin hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang, esok,” kata Akram.
Peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tidak mempunyai bantahan berhubung penangguhan itu, sambil menambah bahawa mereka juga mengucapkan takziah kepada pasukan pendakwaan atas kematian Sri Ram.
Sequerah kemudian membenarkan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini dan esok dan disambung semula pada Khamis ini.
Pada tarikh itu, pihak pembelaan dijangka menyambung semula pemeriksaan balas mereka terhadap saksi pendakwaan ke-41 Joanna Yu, iaitu bekas pengurus perhubungan perbankan Najib.
Sri Ram meninggal dunia di Hospital Gleneagles, semalam selepas dimasukkan ke sana untuk rawatan jangkitan radang paru-paru dua minggu sebelumnya.
Selain mengetuai pendakwaan terhadap Najib dalam perbicaraan rasuah 1MDB, dia juga adalah pendakwa utama dalam projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang melibatkan isteri Najib, Rosmah Mansor.
Peguam Negara, Idrus Harun, semalam, menjelaskan bahawa kes 1MDB akan diteruskan dengan pasukan barisan pendakwaan sedia ada membabitkan Timbalan Pendakwa Raya daripada Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Najib, 70, menghadapi pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan pertuduhan pengubahan wang haram.
