Lawatan PM Anwar ke Brunei dan Indonesia baru-baru ini mencerminkan kepentingan strategik dua hala kepada ketiga-tiga negara, terutamanya dalam spektrum transformasi ekonomi, sumber baharu serta lembaran strategik keselamatan dan pertahanan.
Berpaksikan lembaran jalinan sejarah serumpun yang selari dari segi sosiobudaya dan jaringan keterikatan, hubungan Brunei-Malaysia-Indonesia terus diperkasa dengan gabungan sumber dan sokongan bersama dalam membentuk pakatan tiga berangkai.
Ia demi memperkukuh benteng kapasiti mendepani cabaran geopolitik dan ekonomi serantau yang kian meruncing.
Hubungan ini terus berpotensi untuk menzahirkan pulangan berganda, terutamanya dalam bidang kritikal masa depan.
Bidang-bidang ini menuntut pelaburan intensif dalam sektor teknologi, ekonomi digital dan ekonomi hijau, sumber baharu, kelestarian rantaian bekalan, kepakaran semikonduktor dan jaringan siber dan digital berkapasiti tinggi, serta pemerkasaan industri pertahanan dan keselamatan.
Kesemua bidang ini akan menjadi parameter kritikal dalam melakar rubrik baharu dalam pertalian dua hala ini, dan menjadi sandaran penting kepada kepentingan strategik Brunei dan Indonesia pada masa depan.
Dalam kebergantungan bertempat ini, Malaysia terus memainkan peranan utama kepada percaturan pulangan strategik kepada Brunei dan Indonesia.
Kerjasama erat dalam bidang low politics seperti pendidikan, pelancongan, dan hubungan sesama masyarakat menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih mendalam dalam bidang high politics terutamanya integrasi ketenteraan dan pertahanan.
Cabaran ekonomi yang semakin getir, menyaksikan keperluan untuk memperkukuh jalinan sandaran yang lebih strategik dan bersepadu untuk menghadapi kepincangan sasaran dan kebergantungan pasaran dan sumber tidak menentu.
Kerjasama sepakat Kuala Lumpur-Jakarta dalam platform minyak sawit dalam menghadapi cabaran pasaran luar termasuk Kesatuan Eropah (EU) menjadi penanda aras kepada kerjasama dan sepakat lebih strategik dalam mempertingkat keupayaan bersama untuk mendepani keperluan dan ancaman seiring.
Transformasi ke arah sektor futuristik
Dalam kes Brunei, transformasi teras ekonomi ke arah sektor futuristik yang bukan sahaja bergantung kepada teras konvensional sektor gas dan minyak menjadi keperluan tertinggi, dalam merencana struktur pembangunan ekonomi berdaya saing dan tidak terikat kepada risiko kebergantungan dominan dalam sektor tunggal yang kian terdedah.
Aliran sama dapat dilihat dalam kes Indonesia yang memerlukan anjakan progresif struktur ekonomi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan berteraskan dorongan ekonomi berimpak tinggi yang bertunjangkan teknologi masa depan, pendigitalan terancang dan penggunaan sumber baharu secara strategik dalam melonjak kepentingan geostrategik.
Hasil daripada cabaran serantau yang sama, Indonesia dan Brunei terus mengorak langkah untuk memperkasa gabungan kapasiti yang terus dipacu dengan penglibatan Malaysia, terutama dalam menjamin kelestarian pembangunan ekonomi baharu dan berganding bahu dalam mempertahankan sektor kritikal dan sumber masing-masing.
Hubungan peribadi erat yang dicerminkan dalam pertalian antara Perdana Menteri Anwar dengan Presiden Joko Widodo dan Sultan Hassanal Bolkiah membuka ruang baharu untuk merentasi polemik dan cabaran lama dalam memberikan keyakinan dan nafas baharu dalam soal pertikaian dan persengketaan mengenai pergeseran lama yang kekal menjadi halangan kepada kesepaduan lebih erat.
Isu pertikaian dan pertindihan tuntutan wilayah antara ketiga-tiga negara mencetuskan kepercayaan yang merudum serta mewujudkan halangan kepada potensi pulangan lebih besar daripada kesepakatan yang menyeluruh.
Ancaman bersama yang dihadapi dalam konteks lebih komprehensif dalam pertikaian di Laut China Selatan yang melibatkan tuntutan China dan tindakan yang diambil dalam mendominasi tuntutan tersebut, menyebabkan skala percaturan kos dan risiko memihak kepada pakatan Brunei-Malaysia-Indonesia untuk mempertingkat kerjasama di antara mereka untuk keupayaan lebih efektif.
Ia menuntut kerjasama dan kesepakatan lebih erat dalam mempertingkat tahap pertalian kesepaduan tindakbalas dan usaha cegah rintang dalam menghadapi kegusaran yang sama.
Proses anjakan dan transformasi daya saing ekonomi Brunei dan Indonesia memerlukan sokongan dan aspirasi seiring Malaysia.
Kerjasama lebih erat dalam bidang ekonomi lain termasuk pelancongan dan suntikan pelaburan dalam sektor teknologi berimpak tinggi akan menghasilkan kesan berangkai dalam memacu tahap kepercayaan, keyakinan dan kebergantungan, seterusnya membuahkan pulangan lebih kritikal dalam kerjasama dan pertalian pertahanan dan keselamatan yang terus mendominasi kegusaran ketiga-tiga negara.
Ambang peralihan pembaharuan
Tiga negara ini berada dalam ambang peralihan pembaharuan dan titik tolak percaturan ekonomi dan geopolitik yang paling kritikal dalam sejarah penubuhan masing-masing.
Dan mereka tidak berupaya untuk terus kekal dalam kepompong dan dogma lama dalam ambang risiko keselamatan dan transformasi ekonomi yang menekan kelestarian dan tuntutan politik dalaman ketiga-tiga negara.
Indonesia bawah pimpinan Presiden Jokowi telah menzahirkan aspirasi baharu dalam mengukir legasi dan pengaruh mendalam dalam spektrum kepimpinan serantau dan melonjak imej sebagai suara dan pelaku utama Asean.
Parameter sama dapat dilihat dalam usaha Jakarta untuk mengangkat gagasan kepimpinan Islam dan dunia Islam, dalam menggembleng kepakaran, kekuatan dan sumber bersama dengan negara Islam lain terutamanya Turkiye dan Arab Saudi.
Indonesia terus bijak dalam mengangkat darjat dan pengaruhnya di bawah kepimpinan dalam Asean dan G20.
Aspirasi tinggi Presiden Jokowi dalam melonjak pengaruh Indonesia dalam penggubalan dasar kritikal dan menjadi pemegang taruh penting dalam isu dominan seperti perang di Ukraine dan spektrum tenaga hijau dan kelestarian rantaian bekalan yang menjadi nadi persaingan utama kuasa besar Amerika, Rusia dan China.
Jakarta turut sedar bahawa usaha transformasi besar-besaran ini memerlukan sokongan jiran yang konsisten serta bertunjangkan rumpun dan kepercayaan yang mendalam.
Segala agenda geopolitik besar-besaran, futuristik dan bersasar seperti hasrat baharu di Nusantara atau aspirasi Indonesia untuk menjadi kuasa middle power yang paling berpengaruh di rantau serta antara kuasa negara Islam terbesar, memerlukan lapangan geopolitik dan keselamatan serantau yang stabil dan terkawal.
Pengukuhan jaminan keselamatan yang semakin meningkat dapat dilihat dalam tindakan lebih berkonfrontasi dalam melindungi kepentingan dan kedaulatan di Utara Natuna dalam menghadapi ancaman dan tindakan China.
Agenda sama juga dilihat dalam kegusaran Brunei untuk menghadapi dilema persengketaan dan pertikaian di Laut China Selatan yang berpotensi untuk mengancam aset minyak dan gas yang memacu ekonominya.
Tindakan dan cegah rintang yang dilakukan oleh Brunei diambil dalam kesedaran bahawa ia berpotensi untuk menimbulkan tindak balas serta reaksi negatif Beijing yang berisiko untuk mengundang dampak berangkai yang lebih mengancam kepentingan Brunei dalam jangka masa panjang.
Kapasiti kuasa ketenteraan
Berdepan dengan kapasiti kuasa ketenteraan dan kuasa geopolitik yang secara relatifnya lebih rendah berbanding China dan negara jiran lain, Brunei terus melipatgandakan usaha dalam sandaran kepada Asean dan Malaysia sebagai sokongan utama.
Asean memberikan suara lebih komprehensif, efektif dan konsisten kepada Brunei melalui mekanisme berangkai diplomasi, dialog dan cegah rintang secara kolektif yang menumpang sektor kepentingan sumber dan kuasa ekonomi dan pasaran Asean sebagai antara pelaku dan entiti terpenting global.
Jakarta turut menggunakan platform Asean dalam membawa agenda kepimpinan serantaunya, dan akan cuba untuk membawa agenda perubahan dalam isu kritikal di Myanmar, Laut China Selatan dan kepentingan kestabilan dan pengaruh Asean di sebalik tirai pergolakan dan perlumbaan senjata.
Dalam memegang tampuk kepimpinan Asean pada tahun ini, agenda penting yang turut akan membawa pulangan besar kepada Jakarta dan negara jiran akan memberikan impak besar kepada Malaysia.
Dan hubungan erat yang cuba dipertahankan dengan pertalian rapat pemimpin akan menjadi pemangkin kepada pembangunan kepercayaan dan kebergantungan strategik.
Indonesia terus memperinci percaturan strategik dalam galvanisasi aset geostrategik mereka yang terus dicerumbui ramai.
Ini termasuk kepentingan di Selat Sunda yang bakal menjadi lapangan kedua yang strategik dan kritikal serta geografi keseluruhan Indonesia sebagai arkipelago penting kepada agenda kedua-dua China dan Barat dalam percaturan agenda geopolitik masing-masing.
Indonesia turut dilihat sebagai negara penampan dan benteng kritikal dalam mencegah impak domino hasil daripada potensi konflik masa depan dalam mengekang perluasan China dan mempertahankan benteng dan wakil Barat di selatan, Australia dan New Zealand.
Sebagai negara demokrasi dan negara Islam progresif, Indonesia terus kekal berada di radar utama kuasa besar, seiring dengan pengaruh Malaysia.
Peranan Malaysia dalam memperkukuh jalinan pakatan Brunei-Malaysia-Indonesia terus digilap dalam usaha memperkukuh kekuatan serantau dan semangat kejiranan serumpun yang dapat memperkasa peranan Asean dan keefisienan kesepakatan kebergantungan kekuatan dan sumber bersama.
COLLINS CHONG YEW KEAT ialah Penolong Pendaftar Universiti Malaya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
