Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas bersuara tentang kronisme, kenapa Anwar lantik Nurul Izzah, tanya TI-M

Transparency International Malaysia (TI-M) berpendapat langkah Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik anaknya sebagai penasihat ekonomi dan kewangan menghantar isyarat yang salah.

Presidennya Muhammad Mohan berkata langkah diambil Anwar itu akan ditafsirkan sebagai kembalinya amalan kronisme dan nepotisme di negara ini.

Sebelum ini kata Muhammad, Anwar banyak bercakap mengenai keburukan amalan kronisme dan nepotisme, justeru TI-M berasa mempersoalkan langkah diambil ahli parlimen Tambun terbabit.

“Pada pandangan kami, ia memberi isyarat yang salah dan saya khuatir jika tidak diperbetulkan, ia akan diambil kira dalam persepsi umum di negara ini.

"Persepsi hari ini ialah kronisme telah kembali dan nepotisme telah menyelinap masuk, dan ini tidak baik," katanya.

Muhammad berkata demikian kepada media selepas membentangkan laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2022 di Kelab Diraja Selangor di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 29 Jan lalu Malaysiakini melaporkan Anwar melantik anak sulungnya, Nurul Izzah sebagai penasihat kanan kewangan dan ekonomi di Pejabat Perdana Menteri.

Namun, sumber dalam kerajaan yang tahu berkenaan perkara itu memberitahu jawatan bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu tidak dibayar gaji.

Anwar turut mengesahkan perkara ini dalam sidang medianya pada hari tersebut.

Saran buat penyelarasan semula

Nurul Izzah, 42, memberitahu antara tugasnya ketika ini ialah melakukan proses libat urus dengan pihak berkepentingan, termasuk orang ramai, untuk Belanjawan 2023.

Walaupun mengkritik pelantikan Nurul Izzah, Muhammad pada masa sama menegaskan ahli politik terbabit memang mempunyai integriti serta yakin memiliki keupayaan menguruskan isu yang timbul sekarang.

“Nurul Izzah adalah orang yang sangat berharga kepada negara, cuma yang menjadi isu ialah pelantikan itu dibuat oleh bapanya.

“Jika kementerian lain yang melantik Nurul Izzah, masalah ini tidak akan timbul. Sudah tentu ia menjadi kegusaran,” katanya.

Bagaimanapun, melihat perkara tersebut dari sudut positif, Muhammad berpendapat Anwar memerlukan seseorang yang benar-benar boleh dipercayai untuk menjalankan alasan bagi pihak perdana menteri.

“Saya harap perdana menteri boleh campur tangan dan buat sedikit penyelarasan supaya kita tidak kehilangan bakat beliau (Nurul Izzah) dan pada masa sama dia (Anwar) tidak terlibat.

“Ini perlu supaya isu nepotisme dan konflik kepentingan tidak timbul.

"Beberapa pembetulan perlu dilakukan," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS