Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada peruntukan undang-undang halang rakam serbuan polis'

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Salim Bashir dan dua pakar undang-undang berkata tiada peruntukan undang-undang melarang orang ramai daripada merakan serbuan yang dilakukan oleh pihak polis.

Selain Salim, peguam Syed Iskandar Syed Jaafar dan Rajsurian Pillai hari ini mengulas penahanan tiga individu baru-baru ini kerana merakam serbuan polis ketika persembahan muzik di sebuah kedai muzik di Georgetown, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan sejam selepas penahanan itu.

Individu keempat, yang merupakan pemilik bersama kedai itu, ditahan selama lebih 12 jam kerana tidak memiliki lesen hiburan.

“Tiada peruntukan yang menjenayahkan tindakan merakamkan operasi polis semasa serbuan. Sebaliknya, kamera badan diperakui untuk menggalakkan ketelusan.

“Kerajaan malah telah meluluskan penggunaan kamera badan ini oleh pihak berkuasa.

“Rakaman serbuan atau tangkapan tanpa sebarang tindakan terang-terangan yang menimbulkan keganasan, tidak boleh ditafsirkan sebagai tindakan agresif atau mengancam yang boleh menimbulkan kesalahan di bawah kanun keseksaan,” kata Salim kepada Malaysiakini.

Peguam itu menambah ketiga-tiga mereka mempunyai pilihan untuk memfailkan tindakan sivil terhadap polis.

Berkongsi pandangan yang sama adalah pengamal undang-undang veteran Syed Iskandar, yang berkata tidak ada undang-undang seumpama itu di Malaysia yang menghalang rakaman serbuan polis oleh orang awam.

Peguam itu berpendapat ketiga-tiga mereka yang ditahan dan kemudian dibebaskan semasa serbuan Sabtu lalu boleh menyaman polis di mahkamah

“Di Malaysia, orang ramai biasanya tidak mahu cuba membawa tindakan terhadap polis dan lebih suka berdiam diri atas sebarang dakwaan pelanggaran pihak berkuasa.

“Tetapi kita perlu ingat bahawa telah berlaku pertukaran kerajaan baru-baru ini dan hari-hari di mana polis boleh melakukan apa sahaja yang mereka suka sudah berlalu.

"Di seluruh dunia seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom, tidak ada undang-undang yang menghalang orang ramai daripada merakam atau merekod serbuan polis," kata Syed Iskandar.

Sementara itu, Rajsurian memberitahu Malaysiakini bahawa adalah bukan satu jenayah untuk mengambil gambar atau merakam video serbuan polis selagi ia tidak menghalang penguatkuasa undang-undang daripada melakukan tugas mereka.

Dia berkata sebarang tindakan yang menghalang penjawat awam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Rajsurian bagaimanapun berkata polis mempunyai kecenderungan untuk menggunakan ancaman menerusi peruntukan Seksyen 186 bagi mendapatkan kerjasama semasa siasatan.

"Perlu diingat bahawa terdapat kru kamera program penyiasatan TV tempatan yang mengikuti polis semasa serbuan, justeru jelas menunjukkan bahawa rakaman dengan sendirinya bukanlah satu jenayah," kata peguam itu.

Susulan serbuan Sabtu itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mengulangi gesaan agar pasukan polis dilengkapi kamera badan.

Lihat Komen
ADS