Peraturan baru Grab yang mengurangkan kadar upah atau tambang kepada pemandu Grab dilihat penghalang kepada usaha kerajaan untuk membantu rakyat yang berdepan tekanan ekonomi, ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan.
Dia merujuk kepada pelaksanaan peraturan baharu firma pengangkutan dan penghantaran makanan tersebut yang baru-baru ini mengurangkan tambang pemandu daripada 70 sen kepada hanya 25 sen bagi setiap kilometer.

Bagaimanapun, peraturan itu yang bermula pada 16 Januari lalu, turut menaikkan kadar tambang pada waktu puncak daripada 20 sen kepada 43 sen seminit.
“Walaupun perubahan ini sepatutnya membantu pemandu Grab, ia masih tidak wajar.
“Penurunan tambang daripada 70 sen kepada hanya 25 sen bagi setiap kilometer akan menjejaskan pendapatan pemandu Grab kerana kebanyakan mereka mengambil penumpang berdasarkan jarak.
"Mereka tidak bergantung untuk menunggu (penumpang) di kawasan sesak seperti pemandu teksi," kata Sany.

Dia berkata bahawa perubahan itu akan dilihat sebagai penghalang kepada usaha kerajaan untuk membantu rakyat yang berdepan tekanan ekonomi serta cabaran pasca pandemik.
Tambahnya, ramai yang kehilangan pekerjaan semasa wabak itu terpaksa menjadi pemandu Grab untuk menyara diri dan keluarga mereka.
“Apabila kerajaan cuba membantu rakyat yang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan gaji yang tidak mencukupi, nasib pemandu Grab menyedihkan hati saya,” katanya.
Sany juga menggesa Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk campur tangan dalam perkara ini.
