Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Laporan berita mengenai SJKC tiada unsur hasutan
Diterbitkan:  Feb 2, 2023 9:50 AM
Dikemaskini: 1:50 AM

Pihak polis memaklumkan dua laporan akhbar yang mendakwa pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tidak berminat untuk mempelajari Bahasa Malaysia tidak berunsur hasutan atau membangkitkan kemarahan mana-mana kaum.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Sentul Kuala Lumpur, ACP Beng Eng Lai berkata siasatan awal mendapati tajuk berita tersebut mempunyai kecenderungan untuk memberi persepsi yang mungkin mendatangkan kegusaran kepada awam.

"Namun begitu, kandungan artikel tersebut tidak mempunyai sebarang penyataan yang berunsurkan hasutan atau membangkitkan kemarahan mana-mana kaum.

"Polis Kuala Lumpur menyeru orang ramai agar tidak menulis atau menyebarkan sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan kaum," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Beng siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

Dua artikel berkenaan merujuk kepada artikel Berita Harian bertajuk "Murid SJKC tak minat subjek Bahasa Melayu?" dan artikel NST bertajuk "SJKC pupils not keen learn BM".

Kedua-dua artikel itu diterbitkan pada 18 Jan oleh penulis yang sama.

Kedua-dua organisasi berita itu dimiliki oleh New Straits Times Press (M) Bhd, yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Media Prima.

Majlis Bahasa Cina Malaysia (MCLC) memfailkan laporan polis pada 21 Jan lalu dengan mendakwa artikel itu berbaur hasutan.

Semasa sidang media pada 31 Jan, MCLC berkata artikel itu melanggar Seksyen 3(1)(e) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 124I Kanun Keseksaan (penyebaran laporan palsu).

Mereka berpendapat penulis hanya memetik dua orang guru yang menyuarakan rungutan mereka.

MLCC turut mempersoalkan kesahihan dua artikel berita itu, kerana pelajar yang ditemu bual mempunyai nama yang sama dengan watak utama dalam "Romance of the Three Kingdoms".

Lihat Komen
ADS