Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan EIA: Pelabuhan laut dalam jejas industri perikanan Melaka

Far East (Melaka) Sdn Bhd telah menyerahkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi tujuan membina sebuah bandar pelabuhan di luar pesisir daerah Melaka tengah.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan projek tebus guna tanah seluas 1190 ekar itu akan mengganggu ekologi marin, mengurangkan hasil tangkapan ikan dan memberi kesan kepada industri perikanan di Melaka.

Laporan EIA itu menyebut bahawa kawasan tebus guna tersebut melibatkan kawasan penangkapan ikan utama oleh nelayan dari Klebang hingga kawasan Serkam.

Pasukan EIA menegaskan kehilangan kawasan interdal itu akan mengehadkan kawasan penangkapan ikan sedia ada, menyebabkan nelayan perlu bergerak lebih jauh daripada tapak projek yang dicadangkan itu bagi menangkap ikan.

“Ini akan membawa kepada peningkatan kos operasi, terutamanya bahan api, yang seterusnya akan menjejaskan produktiviti mereka.

"Terdapat juga kemungkinan konflik kepentingan kerana pencerobohan mereka ke kawasan lain mungkin tidak dialu-alukan," kata laporan itu.

Memetik data daripada Jabatan Perikanan, laporan EIA itu menunjukkan bahawa pelan pelabuhan laut dalam itu akan memberi kesan kepada 13 perkampungan nelayan dan lebih 447 nelayan berdaftar.

Tangkapan ikan semakin berkurangan

Laporan EIA itu juga menyatakan pendaratan udang geragau, yang digunakan untuk membuat belacan dan cincalok, telah menurun secara drastik sejak 30 tahun lalu.

"Berdasarkan data Perangkaan Perikanan Tahunan dari 1991 hingga 2020, pendaratan geragau di Melaka menunjukkan trend penurunan. Pendaratan tertinggi dicatatkan pada 1991 dengan 226 tan, aliran pendaratan menjunam dengan penurunan drastik dari 204 tan (1995 kepada 36 tan (1997).

“Terdapat juga beberapa tahun di mana tiada pendaratan direkodkan, contohnya, 2013, 2014 dan 2016.

"Penurunan drastik dalam pendaratan udang geragau mungkin disebabkan oleh dasar laut yang sangat terganggu di sepanjang pantai, terutamanya disebabkan oleh aktiviti penambakan serta pembangunan pantai yang lain," kata laporan itu.

Selain aktiviti menangkap ikan, aktiviti penternakan hidupan laut di sepanjang pantai turut terjejas, termasuk ternakan ketam ladam dari Sungai Duyong ke Pantai Siring, dan ternakan udang geragau dari Parit Cina ke Telok Mas.

“Semasa peringkat pelaksanaan projek, penuaian udang ladam dan geragau akan terjejas teruk, secara langsung menjejaskan pendapatan dan mata pencarian nelayan yang terlibat dalam aktiviti ini di kawasan itu.

"Selepas penambakan selesai, nelayan yang terlibat dalam penuaian udang geragau akan kehilangan kawasan penangkapan secara kekal di tapak penambakan itu," menurut laporan itu.

Risiko pelanggaran kapal dan pencemaran

Selain itu, laporan EIA itu menyatakan kebimbangan terdapat risiko pelanggaran antara kapal besar seperti kapal korek, kapal pengangkut pasir dan kapal nelayan.

Pergerakan kapal-kapal besar itu juga akan menyebabkan halangan kepada pelayaran bot-bot nelayan di kawasan itu.

“Terdapat potensi kemalangan jika langkah sewajarnya tidak diambil.

"Terdapat juga potensi untuk kapal korek itu berlanggar dan merosakkan jaring ikan semasa pergerakannya berulang-alik dari tapak sumber pasir," kata laporan itu.

Laporan EIA itu juga mengatakan bahawa tumpahan dari kapal korek boleh membahayakan plankton, makrobentos dan stok ikan.

Sebilangan pakar juga bimbang nelayan yang terkesan mungkin tidak menerima pampasan.

Ketika mesyuarat "Terms of Reference Adequacy (Torac)", Prof Madya Abdul Rahim Abdul Samad dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia membangkitkan persoalan bagaimana pemaju akan dapat memastikan nelayan menerima pampasan sewajarnya dan bagaimana profesion perikanan masih boleh diteruskan selepas projek itu siap. .

Pemaju berjanji menubuhkan jawatankuasa untuk mengendalikan aduan daripada nelayan dan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Aduan Komuniti untuk mengendalikan mekanisme pemberian pampasan.

Syarikat itu juga berjanji akan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada nelayan serta menggalakkan mereka menyertai sesi pembangunan dalam bidang perniagaan, koperasi dan keusahawanan.

“Projek yang dicadangkan itu dijangka membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, khususnya golongan muda,” kata syarikat itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS