Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
J-Kom mahu ubati perpecahan kaum kesan PRU15
Diterbitkan:  Feb 2, 2023 2:52 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Penganalisis politik dan bekas pensyarah, Mohammad Agus Yusoff, kini menyertai kerajaan selepas dilantik secara rasmi sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang baru.

Berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, Mohammad Agus berkata, antara cabaran yang didepan agensi itu ialah menguruskan kesan negatif yang terhasil daripada kempen media sosial pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Saya lihat episod PRU ke-15 telah memisahkan masyarakat kita.

"Pengaruh media sosial telah membawa banyak kesan negatif kepada hubungan antara kaum.

"Bagi memulihkan kembali keadaan ini, kami di J-Kom akan berusaha untuk mendidik masyarakat dengan ilmu pengetahuan dan tataetika yang betul supaya semangat patriotisme serta hubungan baik sesama rakyat akan kembali kuat dan subur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Dis tahun lalu Mohammad Agus pernah menolak tawaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membantunya dalam kerajaan campuran yang baru dibentuk.

Bekas pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, dia sudah cukup selesa dengan kehidupan dan kerjayanya sekarang sebagai tenaga pengajar di Universiti Negeri Gorontalo di Sulawesi, Indonesia.

Mohamad Agus dilantik mengetuai J-Kom bagi menggantikan Zuraidi Ishak.

Katanya bagi menggalas cabaran yang diberikan oleh kerajaan, J-Kom akan melaksanakan program dengan tiga teras utama berdasarkan acuan Malaysia Madani.

"Tiga teras utama J-Kom ialah membudayakan ilmu, membudayakan masyarakat berkemahiran digital, dan mengukuhkan semangat patriotik rakyat.

"Kami akan laksanakan perancangan itu mengikut acuan Malaysia Madani supaya program-program yang bakal kami laksanakan nanti dapat merealiasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara yang maju, harmoni, dan sejahtera," katanya.

Penting jiwa yang terbuka

Dalam pada itu Mohamad Agus berkata, dia merima tanggungjawab itu bagi merealisasikan aspirasi Anwar.

Katanya perdana menteri mahu agar kerajaan perpaduan membangunkan negara ini bukan saja dari segi ekonomi dan infrastruktur, malah turut membabitkan siasah dan masyarakatnya.

"Dari segi siasah, J-Kom mahu menyampaikan maklumat yang betul dan tepat mengenai dasar-dasar kerajaan bagi memastikan rakyat memahami serta mendukung misi kerajaan dalam merealisasikan Malaysia Madani.

"Dari segi masyarakat, J-Kom mahu mendidik dan menyedarkan rakyat mengenai keperluan untuk saling hormat-menghormati dan bersatu supaya tidak ada lagi sikap ekstremisme agama dan kaum.

"Ya, perbezaan akan terus berlaku, namun yang penting kita mampu meraikan dan menerimanya dengan jiwa terbuka," katanya.

Lihat Komen
ADS