Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bagaimana nak bantu rakyat - MP persoal peruntukan dipotong hingga 70%

Bukan hanya gaji anggota kabinet dikurangkan sebanyak 20 peratus, kini peruntukan tahunan kepada ahli parlimen juga dipotong berikutan langkah berjimat cermat yang dilaksanakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Malaysiakini dimaklumkan jumlah peruntukan kepada ahli parlimen dipotong lebih 70 peratus pada 2023 - turun daripada RM3.5 juta kepada RM1 juta.

Difahamkan, ahli-ahli parlimen kerajaan dimaklumkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri pada awal Januari lalu, yang menyatakan kerajaan pusat akan menyediakan peruntukan RM1 juta geran secara langsung (OG) dan RM300,000 untuk perbelanjaan pusat khidmat mereka.

Walaupun jumlah peruntukan pusat khidmat kekal tidak berubah, geran secara langsung dikurangkan sebanyak satu pertiga, daripada RM1.5 juta kepada RM1 juta.

Ahli-ahli parlimen diberitahu bahawa pada masa ini "tiada berita" mengenai dana Projek Mesra Rakyat (PMR) sebanyak RM2 juta yang digunakan untuk projek bekalan dan pembinaan.

Seorang ahli parlimen dari PH yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu Malaysiakini bahawa ramai ahli parlimen "menangis" selepas menerima notis daripada ICU kerana jumlah peruntukan tersebut adalah jauh lebih rendah berbanding sebelum mereka menjadi kerajaan.

“(Ini menyebabkan kami) kesukaran untuk memenuhi permintaan setiap NGO, dan kami perlu sangat selektif dalam aktiviti yang kami mahu sokong,” luah ahli parlimen itu.

Seorang lagi ahli parlimen PKR yang enggan namanya didedahkan turut melahirkan rasa kecewa ketika dihubungi Malaysiakini.

Selesaikan masalah dengan cepat

Dia berkata ahli parlimen kerajaan sebelum ini mencadangkan kepada Anwar untuk menaikkan peruntukan untuk kawasan mereka tetapi tidak berjaya, malah tiada penjelasan diberikan.

Dia menyatakan rasa kesal kerana tanpa dana PMR, ia merupakan satu tamparan hebat kepada ahli parlimen kerajaan.

“Rakyat mempunyai jangkaan dan tuntutan daripada kerajaan baru, tetapi kini saya terpaksa beritahu pengundi dan kumpulan yang minta bantuan bahawa saya tidak boleh membantu. Ini akan sukar diterima oleh rakyat.

“Sudah tentu kita tidak menganjurkan amalan menggunakan peruntukan kawasan untuk membeli undi, tetapi dana pembangunan ini boleh membantu ahli parlimen menyelesaikan masalah kawasan pilihan raya dengan cepat dan meningkatkan kehidupan rakyat.

“Sekarang tanpa dana pembangunan, saya tidak boleh membantu masjid di kawasan saya membeli PA sistem atau memberi sokongan kepada sekolah untuk membeli mikrofon atau penyaman udara, kerana OG hanya boleh digunakan untuk program dan pertubuhan bukan kerajaan,” tambahnya.

Menurut ICU, OC digunakan untuk menyokong program dan aktiviti pertubuhan bukan kerajaan atau persatuan dalam kawasan pilihan raya, atau untuk diberikan sebagai geran atau derma.

Bagi dana PMR pula, ahli parlimen perlu memohon peruntukan daripada kerajaan persekutuan bagi tujuan pembangunan di kawasan mereka seperti membina atau membaiki infrastruktur dan bangunan.

Di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, seseorang ahli parlimen kerajaan boleh memohon peruntukan sehingga RM3.5 juta setahun.

RM3.5 juta ini dibahagikan kepada RM2 juta untuk dana PMR manakala RM1.5 juta lagi adalah OG.

Ahli parlimen kerajaan juga memberi tambahan RM300,000 setahun untuk perbelanjaan pusat khidmat mereka.

Pada awal 2020, ahli parlimen kerajaan dari Sabah dan Sarawak diberi peruntukan tambahan RM500,000 selain peruntukan sebanyak RM3.5 juta.

Sementara itu, seseorang ahli parlimen pembangkang hanya boleh memohon sehingga RM100,000 setahun peruntukan daripada kerajaan pusat.

Amalan ini berterusan sehingga sebelum PRU15.

Sementara itu, seorang ahli parlimen Malaysia Timur yang enggan dikenali berkata pegawai ICU memberitahunya bahawa mereka juga " tiada maklumat" mengenai dana PMR apabila ditanya semasa taklimat pada bulan Januari.

"Kami fikir sekurang-kurangnya kami boleh mendapat jumlah peruntukan yang sama seperti pentadbiran sebelum ini, tetapi sekarang kami hanya mendapat RM1 juta," keluhnya.

Peruntukan RM1 juta terlalu sedikit

Ahli parlimen itu berkata peruntukan RM1 juta itu diberi menerusi dua peringkat iaitu RM500,000 pada separuh masa pertama tahun 2023 dan RM500,000 lagi pada separuh masa kedua tahun yang sama.

Namun dalam tempoh sebulan peruntukan untuk separuh pertama tahun 2023 hampir habis.

“Memang sedia maklum bahawa infrastruktur Malaysia Timur adalah lemah, dan banyak sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan telah memohon peruntukan kepada saya, tetapi kini peruntukann yang boleh saya peruntukkan sudah kehabisan,” tambahnya.

Bagaimanapun, ahli parlimen Jelebu (Umno) selama dua penggal Jalaluddin Alias ​​meminta ahli parlimen lain supaya tidak terlalu risau.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Jalaluddin berkata dia masih belum menerima notis daripada ICU tetapi percaya jumlah peruntukan yang diketahui ahli parlimen bukanlah keputusan muktamad kerana ia belum diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri.

Katanya, sidang parlimen akan dimulakan semula dalam masa dua minggu, dan mungkin pengumuman akan dibuat kemudian.

“Kita perlu berfikiran positif dan tunggu sehingga PM buat keputusan. Pastinya PM tahu tentang kedudukan ini, tentulah dia very aware tentang kedudukan dan keperluan ahli parlimen kerajaan. Tidak perlu ada kerisauan yang banyak sangatlah,” katanya.

Bagaimanapun Jalaluddin mengakui peruntukan RM1 juta kepada sesebuah kawasan adalah terlalu sedikit.

Dia berpandangan kerajaan pusat perlu memperuntukkan dana kepada ahli parlimen berdasarkan keadaan ekonomi dan keperluan rakyat dengan sekurang-kurangnya mengekalkan atau memberi jumlah peruntukan lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.

Malaysiakini telah menghubungi ICU untuk mendapatkan respons.

PH sebelum ini berjanji memperkenalkan Dana Pembangunan Kawasan (CDF) yang boleh digunakan oleh semua ahli Parlimen pada PRU15.

Bagaimanapun, selepas membentuk kerajaan perpaduan dengan BN, kerajaan masih belum mengumumkan jenis peruntukan yang akan diagihkan kepada 148 ahli parlimen di pihak kerajaan.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Tasek Gelugor (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan berkata, ahli parlimen PN tidak menerima sebarang maklumat mengenai peruntukan kawasan pilihan raya.

Bagaimanapun, dia menggesa kerajaan memberikan peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen bagi memastikan rakyat yang memerlukan dapat dibantu sewajarnya.

"Pada masa yang sama, apabila PN mengumumkan kabinet bayangan nanti, saya harap anggota kabinet bayangan juga diberikan kemudahan yang sewajarnya dan juga akses kepada maklumat yang tepat dan terkini untuk memastikan kabinet bayangan itu boleh memainkan peranan semak imbang yang efektif," katanya.

Lihat Komen
ADS