Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Melaka tak perlukan satu lagi projek tambak laut, kata MP
Diterbitkan:  Feb 2, 2023 8:38 PM
Dikemaskini: 12:40 PM

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) menolak cadangan projek pembangunan bandar pelabuhan laut dalam di negeri itu.

Khoo berkata Melaka tidak memerlukan satu lagi projek tambak lauk yang bermasalah.

"Penduduk tidak menolak pembangunan tetapi kami menentang pembangunan yang tidak lestari.

"Sebelum ini, sudah ada beberapa projek penambakan yang besar di Melaka namun kebanyakannya gagal dan bermasalah.

"Contoh terbaik adalah projek Malacca Gateway yang menjadi 'gajah putih' yang mencemarkan alam sekitar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khoo berkata demikian setelah menyertai orang ramai dan pertubuhan masyarakat sivil menghantar bantahan mereka terhadap projek itu kepada JAS.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Far East (Melaka) Sdn Bhd menghantar laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) pada 21 Disember 2022, berkenaan cadangan pembinaan sebuah pelabuhan dan terminal kapal persiaran seluas 1,190 ekar (bersamaan 899 padang bola sepak di daerah Melaka Tengah.

Pelan tersebut terbahagi kepada dua bahagian - pertama untuk membina "pelabuhan laut dalam pelbagai guna antarabangsa" dekat Alai. Cetak biru laporan EIA menunjukkan sebuah terminal gas dan cecair, jeti kargo dan dermaga kontena akan dibina di pelabuhan tersebut.

Bahagian kedua adalah untuk membina terminal kapal persiaran antarabangsa seluas 50 ekar (bersamaan 37 padang bola sepak) dekat Pulau Melaka.

Laporan EIA antara lain menyatakan jika projek itu dijalankan, ia akan mengganggu ekologi marin, menjejaskan tangkapan ikan dengan teruk serta memberi kesan kepada industri perikanan Melaka.

Kesan terhadap alam sekitar dan industri perikanan adalah sebab utama yang dibangkitkan Khoo dalam bantahannya.

"Ini bukan saja melibatkan golongan nelayan, tetapi keterjaminan makanan di Melaka.

"Tidak mengejutkan jika harga ikan melambung tinggi selepas ini," katanya lagi.

Katanya lagi, projek itu sendiri "tidak munasabah" dan tiada sebab yang kukuh ia perlu dilaksanakan.

Katanya, ini kerana sudah ada dua pelabuhan di Melaka termasuk Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi, selain beberapa pelabuhan lain sepanjang Selat Melaka di negeri lain.

Khoo juga menggesa ramai lagi menyuarakan bantahan kepada JAS berhubung projek itu.

Lihat Komen
ADS