Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhakam gesa bantuan kaunseling diberi pada kanak-kanak migran
Diterbitkan:  Feb 3, 2023 9:18 PM
Dikemaskini: 1:18 PM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa bantuan kaunseling diberikan kepada kanak-kanak warga asing yang tinggal di sebuah petempatan di Nilai Spring, Negeri Sembilan yang diserbu beberapa hari lalu.

Petempatan itu dilaporkan turut memiliki pusat pembelajaran untuk kanak-kanak yang tinggal di situ disediakan dengan sistem persekolahan Indonesia apabila mereka pulang ke negara asal mereka.

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad berkata ia menjadi tanggungjawab Malaysia untuk melindungi kepentingan kanak-kanak tersebut, selari denganKonvensyen Hak Kanak-kanak (CRC).

"Dalam hal ini, Suhakam menggesa bantuan kaunseling segera diberikan kepada kanak-kanak ini oleh pihak berkuasa terlibat. Diharapkan juga pihak berkuasa menangani keperluan jangka pendek mereka.

"Sensitiviti kanak-kanak perlu sentiasa diutamakan dalam mana-mana keputusan dasar imigresen. Serbuan awal pagi mungkin memberi kesan besar kepada keadaan mental kanak-kanak," katanya.

Suhakam turut mengesyorkan kerajaan agar melaksanakan program alternatif kepada tahanan (ATD, aternatif to detention).

Program ini menempatkan kanak-kanak yang sedang ditentukan status imigresen mereka di tempat selamat yang kondusif kepada kesihatan dan kebajikan mereka buat sementara.

Serbuan semalam menyaksikan 67 warga asing tanpa dokumen ditahan, termasuk seorang berusia 72 tahun dan bayi berusia dua bulan.

Warga asing tersebut memiliki pas lawatan sementara - dan bukannya pasport - yang dikeluarkan pihak Indonesia di sini yang sah selama setahun, namun penerbangan pulang mereka tertangguh kerana mereka tiada wang untuk membeli tiket penerbangan, ekoran kehilangan kerja ketika penularan wabak Covid-19.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Kennith Tan, semua yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng sementara disiasat di bawah undang-undang imigresen kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa permit sah.

Tan berkata, kesemua yang ditahan adalah warga Indonesia, merangkumi 11 lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata pihak kedutaan diberi akses konsular untuk bertemu dengan tahanan pada 7 Februari dan akan memudahkan proses penghantaran pulang mereka.

Hermono berkata keutamaan diberikan untuk memastikan perlindungan hak kepada kanak-kanak selaras dengan konvensyen antarabangsa yang dimeterai Indonesia dan Malaysia, termasuk dalam kes tangkapan dan tahanan.

Lihat Komen
ADS