Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tapak pelabuhan laut dalam Melaka bertindih zon warisan

Tapak pelabuhan laut dalam Far East Melaka bertindih dengan zon warisan bawah air yang dilindungi dan pembinaannya boleh menjejaskan tapak arkeologi.

Bagaimanapun, syarikat pemaju, Far East hanya memasukkan beberapa petikan daripada penemuan laporan penilaian kesan warisan (HIA) dalam laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA).

Ketiadaan laporan penuh itu menghalang orang ramai daripada menilai potensi kehilangan warisan berkenaan.

Menurut laporan EIA yang dikemukakan pada 26 Dis 2022, Zon Pewartaan Perairan Pulau Upeh, seluas kira-kira 36,659.6 hektar, terletak di luar pantai Melaka.

Kawasan itu diisytiharkan sebagai zon dilindungi, berkuat kuasa 12 Mei 2022, di bawah subseksyen 64(1) Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Undang-undang menyatakan "menteri (persekutuan), atas nasihat pesuruhjaya (warisan negara), boleh mengisytiharkan dalam notis yang diterbitkan dalam warta mana-mana kawasan warisan kebudayaan bawah air yang diletak sebagai zon dilindungi".

Manakala sub-seksyen 64(2) dan 64(3) menyatakan tiada mana-mana individu boleh menjalankan apa-apa aktiviti dalam zon dilindungi, kecuali dengan kelulusan bertulis daripada pesuruhjaya warisan negara.

Laporan EIA untuk projek pelabuhan laut dalam itu tidak menyatakan sama ada kelulusan daripada suruhanjaya warisan negara telah diperolehi.

Laporan penuh kesan warisan 'hilang'

Firma perunding Dr Nik & Associates, yang menyediakan laporan EIA berkenaan, berkata dalam laporan itu: "Hanya maklumat penting daripada laporan HIA telah diekstrak dan digabungkan.

"Cadangan susun atur pelabuhan laut dalam bertindih sedikit dengan Zon Pewartaan Perairan Pulau Upeh, keluasan kawasan bertindih ialah 37.25 hektar.

"Oleh itu, tinjauan hidrografi telah dijalankan oleh GeoHydrOcean Services pada Oktober 2022 untuk menentukan kewujudan sebarang kemungkinan ciri atau bahan arkeologi dalam kawasan pelabuhan laut dalam yang dicadangkan serta dalam kawasan terminal pelayaran yang dicadangkan."

Laporan itu menyatakan bahawa tiada bahan arkeologi yang "penting", artifak atau bukti kapal karam dikesan.

Memetik tinjauan hidrografi lain di sepanjang pantai Melaka, ia menjangkakan bahawa artifak kecil, perkakas rumah, seramik dan syiling lama yang bertaburan mungkin ditemui semasa peringkat pelaksanaan projek yang dicadangkan.

Laporan EIA tidak menyatakan cara penyelidikan dijalankan. Ia juga tidak menyatakan bilangan penyelidikan dijalankan dan bilangan lokasi yang diteliti.

Sebagai perbandingan, laporan HIA untuk Projek AJA yang dikemukakan pada tahun 2021, menerangkan secara terperinci bagaimana penyelidikan dijalankan berkenaan dengan penambakan tanah seluas 121.4 hektar berhampiran Pulau Upeh. Projek ini masih dalam penilaian oleh Jabatan Alam Sekitar.

Laporan HIA untuk Projek AJA itu disediakan oleh Asyaari Muhamad, seorang penyelidik arkeologi maritim kanan dari Institut Alam & Tamadun Melayu UKM.

Ia menyenaraikan penemuan setiap penyelidikan, bilangan selaman dan perjalanan pencarian, tempoh, lokasi dan penemuan daripada temu bual dengan nelayan tempatan.

Berdasarkan temu bual, Asyaari dan pasukannya mendapati ramai nelayan menemui artifak sejarah di laut. Ini termasuk porselin dari China semasa tempoh peralihan antara dinasti Ming dan Qing, serta barangan dari Eropah.

Dalam laporan itu, Asyaari menekankan bahawa kawasan bawah laut Melaka mempunyai nilai arkeologi dan warisan yang sangat besar. Ini termasuk 30 hingga 40 kapal karam yang direkodkan di kawasan muara Melaka. Bagaimanapun, ekspedisi penuh tidak dijalankan kerana pelbagai kekangan.

Sebaik sahaja aktiviti penambakan bermula, tapak bersejarah dan artifak bawah air ini akan tertimbus selama-lamanya.

Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Warisan Negara untuk mengulas laporan EIA untuk pelabuhan laut dalam Far East Melaka.

Walaupun beberapa pelabuhan dirancang di sepanjang Selat Melaka, Far East sedang berusaha untuk membina 481.5 hektar (bersamaan dengan 899 padang bola sepak) "pelabuhan pelbagai guna antarabangsa laut dalam" berhampiran Alai.

Bekas ahli majlis perbandaran Pontian Ling Kah Chok dari MCA ialah pemegang saham utama syarikat itu.

Lihat Komen
ADS