Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perolehan vaksin Covid-19 ikut prosedur - Khairy
Diterbitkan:  Feb 9, 2023 11:48 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa semua keputusan perolehan vaksin Covid-19 adalah mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menurutnya, semua keputusan mendapat punca kuasa jemaah menteri dan kelulusan kementerian kewangan dan turut turut mengambil kira pandangan daripada pelbagai agensi.

“Semua keputusan teratur dan mengikut prosedur operasi standard perolehan vaksin Covid-19, bekalan peralatan dan penyedia perkhidmatan berkaitan bagi menangani Covid-19 di Malaysia,” katanya yang dipetik oleh Sinar Harian.

Khairy Jamaluddin

Malah, menurut Khairy, isu perolehan vaksin ini juga telah disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Dan ia didapati teratur,” katanya lagi.

Khairy mengulas kenyataan Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim yang mengumumkan semalam bahawa kerajaan akan membentangkan Kertas Putih mengenai perolehan vaksin Covid-19 tidak lama lagi selepas mendapati ia tidak mengikut peraturan.

Menurut Anwar, antara lain, perolehan itu ditandatangani menteri tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC).

'Kerja buang masa'

Sementara itu, bekas setiausaha sulit utama Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad melabelkan pembentangan kertas putih mengenai perolehan vaksin Covid-19 pada sidang Parlimen akan datang sebagai “kerja buang masa”.

Sedangkan, katanya, isu itu sebelum ini, sebenarnya telah diselesaikan oleh PAC.

Marzuki Mohamad (kiri) bersama Muhyiddin Yassin

“Keputusan perolehan vaksin telah dibawa ke kabinet untuk kelulusan. Biasanya agensi-agensi berkaitan beri ulasan terlebih dahulu ke atas memorandum Jemaah Menteri untuk perolehan vaksin. 

“Saya percaya Jabatan Peguam Negara antara agensi yang beri ulasan. Itu hal keputusan kabinet.

“Lebih jelas isu perolehan vaksin telah dibawa ke perhatian PAC pada tahun 2021. Dalam laporan setebal 521 muka surat, PAC mengesahkan bahawa perolehan vaksin telah dibuat secara teratur.

“Pengerusi PAC pada ketika itu ialah ahli Parlimen DAP, YB Wong Kah Woh. Nurul Izzah (Anwar)  juga anggota PAC pada masa itu.

“Jadi, ke mana nak dibuang laporan PAC setebal 521 muka surat itu? Ini semua kerja buang masa,” kata Marzuki dalam satu kenyataan di Facebook.

Pada Januari 2021, Wong berkata PAC berpuas hati dengan rancangan kerajaan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dan mematuhi perjanjian tanpa pendedahan (NDA) dengan pengeluar vaksin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS