Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli Parlimen PH tak sependapat isu pelantikan Nazri Aziz sebagai Duta AS

Dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) tidak sependapat dalam isu pelantikan bekas ahli parlimen dari Umno, Nazri Aziz sebagai duta ke Amerika Syarikat (AS).

Bercakap kepada Malaysiakini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata jawatan duta perlu dikhaskan kepada diplomat yang mahir dalam hal ehwal antarabangsa.

“Kita ada ramai diplomat yang bagus dan berpengalaman yang sesuai untuk menjadi duta Malaysia ke AS.

“Kita mesti berhenti pilih bekas menteri dan bekas ahli parlimen untuk menjadi duta.

“Pelantikan diplomat sebagai duta bukan untuk kitar semula ahli politik,” kata ahli parlimen PKR itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan pelantikan Nazri.

Ahli parlimen Amanah itu berkata pengalaman Nazri dalam politik dan kerajaan berguna dalam membina hubungan baik dengan kerajaan AS.

“Saya tidak mempunyai sebarang isu (dengan pelantikan Nazri) kerana beliau bukan lagi ahli politik yang aktif dan bukan ahli parlimen untuk mana-mana kawasan,” katanya kepada Malaysiakini.

Pelantikan Nazri bersama sembilan lagi individu untuk mengetuai misi diplomatik di luar negara diumumkan pada Khamis lalu oleh Kementerian Luar.

Bagaimanapun, pelantikan itu mendapat kritikan daripada orang ramai serta bekas diplomat termasuk bekas duta ke Belanda, Noor Farida Ariffin dan bekas pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Kanada Dennis Ignatius.

Jun tahun lalu, Nazri menolak spekulasi bahawa dia akan dilantik sebagai duta AS.

Nazri juga mengumumkan pada 2021 bahawa dia tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-15 selepas berkhidmat selama enam penggal sebagai ahli parlimen.

Nazri pertama kali dipilih sebagai ahli parlimen Chenderoh pada 1995 dan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya 1999, sebelum bertanding di kawasan Padang Rengas yang dimenanginya dalam empat pilihan raya berturut-turut.

Sebelum itu, dia dilantik sebagai senator di Dewan Negara pada 1990.

Dia sebelum ini berkhidmat sebagai menteri pelancongan dan kebudayaan, menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang, serta menteri pembangunan usahawan.

Sebeum ini menjadi amalan kerajaan untuk menamakan ahli politik kanan atau pesara sebagai utusan khas atau duta dan sebahagian daripada mereka menikmati habuan yang sama seperti menteri persekutuan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas terhadap kritikan itu, Nazri meminta Malaysiakini merujuk kepada komennya yang disiarkan dalam New Straits Times.

Pemimpin Umno itu dipetik berkata, satu-satunya pandangan yang penting untuk diambil kira mengenai pelantikannya ialah pendapat Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri, Anwar Ibrahim.

"Jika Agong dan perdana menteri merasakan saya orang yang layak, maka saya orang yang layak. Pasti mereka telah dinasihatkan (tentang pelantikan saya).

“Perasaan merekalah yang harus diambil kira, bukan orang lain,” katanya.

Teruja meulakan tugas baru

Dia menambah bahawa dalam hal ehwal diplomasi, ia bukan tentang memberi peluang kepada individu semata-mata untuk dilantik sebagai diplomat.

“Pada masa tertentu, anda perlu menghantar seseorang yang boleh membantu membaiki hubungan baik. Ia bukan mengenai pekerjaan, tetapi mengenai khidmat kepada negara,” katanya.

Nazri melahirkan rasa teruja untuk berkhidmat kepada negara dalam kapasiti berbeza, selain berterima kasih kepada perdana menteri dan Agong kerana memberikan kepercayaan dan keyakinan terhadapnya.

Nazri bagaimanapun enggan mendedahkan bila pelantikan itu dimaklumkan kepadanya dan bila dia akan berlepas ke AS.

Lihat Komen
ADS