Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan dijangka perbaharui lesen Lynas dengan syarat era PH

Kerajaan dijangka memperbaharui lesen untuk kilang pemprosesan nadir bumi Australia, Lynas Corp untuk meneruskan operasi kilangnya di Gebeng, Kuantan. Lesen itu ditetapkan untuk tamat tempoh pada 2 Mac.

Bagaimanapun, sumber yang maklum tentang perkara itu memberitahu Malaysiakini bahawa kemungkinan syarikat itu mesti mematuhi dua syarat utama seperti yang ditetapkan ketika Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan pada 2019.

Salah satu syaratnya adalah untuk menempatkan semula kemudahan ‘meretak dan larut lesap’ (cracking and leaching), yang menghasilkan sisa Water Leach Purification (WLP) radioaktif, ke luar Malaysia sebelum Julai 2023.

Sejak ia ditubuhkan pada 2012, pemimpin PH membantah loji itu tetapi selepas gabungan itu memenangi pilihan raya umum 2018, pentadbiran yang diterajui Dr Mahathir Mohamad ketika itu memperbarui lesen Lynas dengan meletakkan syarat.

Ia membuatkan parti-parti komponen PH, khususnya DAP, dalam keadaan yang janggal kerana sebelum itu ia telah menuntut kerajaan BN untuk menutup kilang pemprosesan nadir bumi tersebut.

Sebagai contoh, bekas menteri alam sekitar Yeo Bee Yin, yang merupakan ahli parlimen DAP, menyatakan kekecewaan terhadap perkara itu dalam bukunya The Unfinished Business.

Dia menceritakan perkara tersebut melalui satu bab penuh tentang bagaimana dia terpaksa meminda syarat lesen daripada "mengalih keluar sisa radioaktif" kepada "membina kemudahan 'meretak dan larut lesap' di tempat lain".

Chang Lih Kang

Lesen untuk Lynas menjadi subjek hangat buat pentadbiran PH dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang baru Chang Lih Kang daripada PKR, selepas gabungan itu kembali berkuasa Dengan membentuk pakatan dengan BN November lalu.

AS ingin Lynas terus beroperasi

Sumber mendakwa, Chang yang merupakan naib presiden PKR, dan kabinet berada dalam dilema, perlu menangani tekanan daripada luar dan harapan dalam PKR serta pengundi.

Satu sumber yang rapat dengan kerajaan memberitahu Malaysiakini bahawa kerajaan Amerika Syarikat (AS), Australia dan Jepun "prihatin" sama ada lesen itu akan diperbaharui.

Sebulan selepas Chang menjadi menteri, duta AS ke Malaysia Brian D McFeeters melawat kementerian itu dan mengadakan pertemuan dengan Chang.

Dua sumber mengesahkan bahawa McFeeters melobi kerajaan untuk memperbaharui lesen Lynas.

Pada 7 Feb, pesuruhjaya tinggi Australia ke Malaysia Justin Lee melawat Chang untuk membincangkan pelbagai "peluang kerjasama". Pegawai dari Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) - yang menyelia lesen Lynas - turut hadir pada mesyuarat itu.

Produk nadir bumi yang dikeluarkan oleh Lynas merupakan sumber strategik antarabangsa untuk AS, Australia dan Jepun. Ia digunakan dalam pembuatan telefon pintar, kereta elektrik, enjin untuk jet tentera dan lain-lain.

China ialah pembekal terbesar nadir bumi dengan 60 peratus bahagian pengeluaran global manakala pembekal lain termasuk AS, Myanmar, Australia dan Madagascar.

Apabila perang perdagangan antara AS dan China memuncak, AS dan sekutunya berasa bimbang tentang industri pemprosesan bahan nadir bumi di luar China, termasuk di Malaysia.

Jabatan Pertahanan AS menandatangani kontrak dengan Lynas pada Julai 2020 untuk menyediakan syarikat itu sebanyak AS$150 juta untuk membina kemudahan pemprosesan nadir bumi di Texas.

Satu lagi sumber memberitahu Malaysiakini bahawa teknokrat kerajaan di kementerian Chang juga memihak untuk memperbaharui lesen.

“Para teknokrat juga bersetuju untuk membenarkan Lynas meneruskan proses ‘meretak dan larut lesap’ di Gebeng,” kata sumber itu.

Bimbang terhadap reaksi orang ramai

Sementara itu, kerajaan pimpinan PKR turut prihatin terhadap reaksi orang ramai. Sebagai contoh, apabila pentadbiran PH memperbaharui lesen Lynas pada 2019, masyarakat sivil menggerakkan protes.

Ahli Parlimen Bentong ketika itu Wong Tack, yang dikenali dengan kempen anti-Lynas, berdepan dengan kritikan hebat dan digesa meletak jawatan.

Ramai pemimpin PKR Pahang juga menjadi penentang kuat Lynas sebelum PH memenangi pilihan raya umum (PRU) 2018 seperti bekas ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh (kini senator) dan bekas Adun Semambu Lee Chean Chung (kini ahli parlimen Petaling Jaya).

Ini telah menyebabkan PKR lebih berhati-hati dalam menguruskan persepsi orang ramai dan mengelak daripada dituduh membuat janji palsu.

Lee Chean Chung

Bercakap kepada Malaysiakini minggu lalu, Lee mengakui bahawa Lynas pandai melobi tetapi berharap kerajaan tidak akan berkompromi dengan syarat untuk memindahkan kemudahan ‘meretak dan larut lesap’ kembali ke Australia.

“Saya harap kerajaan dapat membuatkan Lynas menunaikan janji ini, (kerana) saya rasa ia bukan mudah…Tetapi perjuangan kita selama bertahun-tahun mesti diiktiraf,” kata ahli parlimen Petaling Jaya itu.

Sementara itu, sumber lain memberitahu Malaysiakini bahawa PKR bimbang keputusan memperbaharui lesen itu akan dianggap sebagai "keputusan langsung" parti.

“Jika lesen diluluskan dan PKR dilihat membuat pusingan U, pembangkang akan menyerang PKR,” tambah sumber itu.

Tan Bun Teet, pengerusi dari Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), yang merupakan satu lagi kumpulan pergerakan anti-Lynas yang tegar, mengesahkan bahawa ketika bertemu Chang, dia mengulangi gesaan untuk memindahkan kemudahan ‘meretak dan larut lesap’ ke tempat lain.

Dia juga memberitahu menteri bahawa kerajaan mesti menambah baik lokasi, reka bentuk dan cara kemudahan pembinaan tapak pelupusan kekal (PDF) dijalankan.

"Lynas telah sumber luarkan projek PDF kepada syarikat yang tidak mempunyai pengalaman berkaitan," tambahnya.

Dua minggu lalu, pengarah urusan Lynas, Amanda Lacaze berkata syarikat itu sedang bersedia untuk senario terburuk - penutupan sebahagian operasinya di Kuantan.

Bagaimanapun, ahli politik dan pemimpin NGO kelihatan berkompromi meskipun keberatan dengan meminta Lynas memindahkan kemudahan ‘meretak dan larut lesap’.

Adakah Lynas mampu melakukannya menjelang Julai?

Jika gagal, adakah kerajaan akan memaksa kilang itu tutup atau syarikat itu akan diberikan lanjutan?

Lihat Komen
ADS