Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata parti Pejuang yang kini dipimpin anaknya, Mukhriz telah tersasar daripada matlamat asal penubuhannya.
Dr Mahathir yang merupakan antara pengasas Pejuang, menyifatkan tindakan parti itu keluar daripada Gerakan Tanah Air (GTA) seolah-olah penolakan terhadap dirinya sebagai pengerusi penaja gabungan itu.
“Pejuang sudah tolak GTA maknanya dia (Pejuang) tolak saya sekali lah. Saya bersama GTA dan Pejuang sejak dahulu (awal penubuhan) lagi.
“Saya melihat aliran Pejuang sudah nampak lain sikit sekarang. Sebab itu saya letak jawatan dan keluar daripada Pejuang,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Dr Mahathir semalam mengumumkan keluar daripada Pejuang, bersama 12 ahli lain untuk meneruskan perjuangan mereka bersama GTA.
Antara ahli yang keluar parti termasuk bekas timbalan presiden Marzuki Yahya dan bekas anggota exco pusat Armin Baniaz Pahamin.
Ketika ditanya mengenai rancangannya seterusnya, Dr Mahathir hari ini berkata dia mahu memperkasakan GTA dan mereka bersedia mengalu-alukan sesiapa sahaja yang tidak terlibat dalam rasuah dan mempunyai ideologi yang sama.
Mahathir mengasaskan Pejuang pada 2020 selepas keluar daripada Bersatu.
Pada Ogos tahun lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA yang terdiri daripada Pejuang, Putra, Berjasa dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Pada PRU15, Dr Mahathir mengalami kekalahan teruk di kerusi parlimen Langkawi. Semua calon Pejuang yang lain juga hilang wang deposit pada PRU15.
Tidak lama kemudian, ahli politik veteran berusia 98 tahun itu meletak jawatan sebagai pengerusi Pejuang.
Pada 14 Jan lalu, Pejuang mengumumkan keluar daripada GTA.
Mukhriz berkata keputusan itu bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan Pejuang dan dibuat setelah mengambil kira pandangan para perwakilan dalam perhimpunan agung parti.
