Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Reformasi perkhidmatan awam pandangan peribadi saya - Ramasamy
Diterbitkan:  Feb 12, 2023 11:51 AM
Dikemaskini: 6:36 AM

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berkata pandangannya mengenai perlunya reformasi dalam sektor perkhidmatan awam tidak menggambarkan pendirian DAP atau keseluruhan pimpinannya.

Menerusi hantaran di Facebook, Ramasamy berkata gesaan itu tidak boleh disamakan dengan 'memecahkan dominasi orang Melayu" seperti yang dilaporkan.

“Cadangan saya untuk pembaharuan (Sektor awam) adalah atas dasar semangat membawa perubahan yang bermakna kepada amalan tadbir urus. Itu sahaja," kata Ramasamy.

Semalam, ahli jawatankuasa pusat Amanah, Mohd Sany Hamzan menggesa DAP memecat Ramasamy daripada jawatan sebagai timbalan ketua menteri II Pulau Pinang berikutan kenyataannya yang disifatkan “menyusahkan” Pakatan Harapan dan bertentangan dengan dasar Malaysia Madani.

Pada hari yang sama, Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang turut menggesa kerajaan negeri pimpinan DAP memecat Ramasamy berikutan kenyataan kontroversi itu.

Bagaimanapun kenyataan yang disiarkan oleh Ketua Penerangan AMK Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf di Facebook itu telah dipadamkan pagi ini.

Mengulas lanjut, Ramasamy mendakwa kenyataan awalnya telah diputarbelitkan oleh media tertentu, yang kemudian disalahtafsirkan oleh "ahli politik dari PH yang mencari publisiti”.

“Ahli-ahli politik tersebut tidak membalas merujuk kepada penerbitan asal saya.

“Artikel saya menekankan keperluan untuk pembaharuan dalam perkhidmatan awam seperti yang dicadangkan sebelum ini oleh Premier Sarawak Abang Johari dan Jurucakap G25 Noor Faridah Ariffin," kata Ramasamy.

“Tetapi malangnya, ahli politik dalam beberapa parti komponen PH cuba mentafsir semula berita tersiar di media untuk memberikan sifat perkauman kepada hujah saya berkenan reformasi dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Pada Selasa lalu, Abang Johari dilaporkan berharap cadangan untuk menambah baik skim gaji akan menarik lebih ramai rakyat Sarawak, termasuk daripada masyarakat Cina, untuk menyertai perkhidmatan awam di negeri itu.

Mengakui gaji penjawat awam ketika ini terlalu rendah, Abang Johari berkata, kerajaan negeri sedang merangka skim menaikkan gaji penjawat awam.

Lihat Komen
ADS