Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawatankuasa portfolio bukan kabinet bayangan PN, kata Hamzah
Diterbitkan:  Feb 12, 2023 6:19 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin menjelaskan bahawa "jawatankuasa portfolio" yang diumumkan sebelum ini bukanlah kabinet bayangan.

Sebaliknya, jawatankuasa itu dikhususkan bagi membolehkan Perikatan Nasional (PN) bergerak sebagai satu pasukan yang kuat dalam melaksanakan semak dan imbang bagi kerajaan membabitkan setiap kementerian, katanya.

“Portfolio ini adalah tanggungjawab berkumpulan. Ketua-ketua portfolio akan dibantu oleh ahli jawatankuasa portfolio yang terdiri daripada ahli-ahli parlimen PN yang lain.

"Ramai yang salah tafsir menganggap Ketua-Ketua Portfolio ini sebagai Kabinet Bayangan – sebenarnya bukan," kata Hamzah dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya hari ini.

Kata Hamzah, portfolio berkenaan akan membolehkan rakyat melihat perbahasan, kritikan dan idea yang berkualiti daripada PN dalam sidang parlimen akan datang bermula Isnin.

Jelasnya ia akan memudahkan pasukan itu bergerak sebagai satu kumpulan dalam memberikan pandangan, teguran serta sokongan terhadap sebarang dasar baik yang dikemukakan oleh pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Tambahnya, pembentukan jawatankuasa portfolio ini adalah untuk menunjukkan bahawa PN bersedia sebagai pembangkang yang kredibel, bertanggungjawab, berkesan, efektif, wibawa dan berintegriti tinggi.

Kata Hamzah, walaupun kerajaan baru belum lagi berkuasa selama 100 hari, sudah banyak kebimbangan dibangkitkan.

"Satu demi satu kelemahan dan ketidakcekapan pentadbiran serta pencabulan kuasa muncul, yang menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

"Isu-isu yang melingkari kos sara hidup rakyat tidak mampu ditangani dengan berkesan oleh kerajaan PH-BN hari ini. Jumlah miskin bandar semakin meningkat.

"Kumpulan B40 makin membesar dan kini sudah menjadi sehingga kumpulan B52 tetapi perdana menteri Ke-10 tetap khayal dengan bahasa- bahasa puitis dan melenkolik," katanya.

Hamzah juga menegaskan isu bekalan telur masih belum selesai dan harga ayam masih mahal.

Namun, katanya, maklum balas daripada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengenai isu ini ialah "tidak boleh paksa ayam bertelur” dan “kena kurangkan makan ayam”.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata pada 16 Jan lalu bahawa pengimportan telur dari India hanya sementara sehingga bekalan tempatan stabil.

Beberapa hari kemudian pada 20 Jan, Persekutuan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur akan kembali normal.

Tidak lama selepas itu pada 25 Jan, Rafizi berkata kerajaan sedang membangunkan strategi untuk mengurangkan pergantungan Malaysia terhadap import bagi barangan makanan mentah termasuk projek pertanian yang dibungkus dengan rantaian nilainya.

Dia juga berkata kementeriannya sedang berusaha untuk membangunkan aplikasi yang membolehkan pengguna membandingkan harga barangan di kawasan mereka.

Sementara itu, Hamzah berkata terdapat juga isu nepotisme yang dipertahankan oleh Anwar. Malah katanya, kritikan Rafizi terhadap perkara itu "berbeza sama sekali".

Hamzah berkemungkinan bercakap tentang Anwar melantik anaknya Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan.

Untuk rekod, Nurul Izzah hari ini mengumumkan dia tidak lagi berkhidmat sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Anwar.

Nurul Izzah menerima jemputan untuk mengetuai bersama sekretariat yang akan menyokong jawatankuasa penasihat kepada Anwar dalam peranannya sebagai menteri kewangan.

Lihat Komen
ADS