Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Tiba masa perkukuh teras tamadun M'sia agar lebih universal

ULASAN | Malaysia memang terkenal sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama yang agak unik. Sistem pluralisme yang diwujudkan sejak tertubuhnya Malaya dan kemudiannya Malaysia masih mampu bertahan.

Setelah lebih enam dekad berlalu ada baiknya sistem itu dikaji semula bagi memantapkan lagi sistem tersebut demi menjamin kekukuhan teras tamadun Malaysia yang dapat diterima oleh semua kumpulan etnik dan agama.

Prinsip-prinsip yang mendasari sistem pluralisme itu boleh diubah suai supaya ia kelihatan bersifat lebih universal dan lebih adil lagi dan dengan itu akan menjadi lebih kukuh dan lebih mantap lagi.

Tetapi tradisi pendekataan keMalaysiaan dalam menangani isu-isu besar yang melibatkan kepentingan semua kelompok etnik dan agama, iaitu permuafakatan, yang menonjolkan hikmah kolektif bangsa dan negara dan membawa banyak kebaikan selama ini haruslah dikekalkan serta dipelihara dengan baik.

Makalah ini akan menghuraikan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan teras tamadun Malaysia dan bagaimana sistem kemajmukan atau pluralisme di negara ini dapat diperkukuhkan lagi.

Kunci kekuatan dan kegemilangan tamadun Malaysia pada masa hadapan terletak pada kejayaan rakyatnya yang berbilang kaum dan negara untuk mencapai kesepakatan dalam merumuskan serta membina dimensi universal tamadun tersebut yang boleh dibanggakan sebagai kepunyaan bersama semua rakyat.

Pada masa yang sama, ia terletak pada kesediaan setiap kelompok etnik dan agama untuk menghormati dan bersikap toleran terhadap budaya dan tamadun kelompok lain. Setiap budaya dan tamadun yang terkhusus bagi sesuatu kelompok etnik dan agama seharusnya mendapat tempat dan diterima dengan lapang dada sebagai dimensi-dimensi partikular tamadun Malaysia.

Dalam konteks masyarakat dan negara berbilang kaum dan agama, teras tamadunnya haruslah dibentuk dari unsur-unsur universal, iaitu unsur-unsur yang diterima sebagai kepunyaan semua kaum dan semua agama.

Hanya dengan cara demikian sahaja sesuatu teras tamadun itu boleh menjadi penyatu yang berkesan. Tamadun Malaysia kontemporari mempunyai teras yang tersendiri. Unsur-unsur utama teras ini telah disepakati oleh semua kaum dan agama pada ketika Malaya dan Malaysia ditubuhkan dahulu.

Perlu terus dipelihara

Kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan atau agama rasmi negara di samping kebebasan untuk agama-agama lain, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara di samping memberi tempat yang adil untuk bahasa-bahasa lain berkembang, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak-hak istimewa orang Melayu dan hak-hak kerakyatan dan kewarganegaraan di sisi undang-undang bagi rakyat bukan Melayu dan bukan bumiputera adalah merupakan unsur-unsur utama teras tamadun Malaysia yang telah dipersetujui itu.

Kebanyakan unsur teras ini pada asalnya berpunca daripada tamadun Melayu Islam. Maka kewajaran penerimaannya enam puluh lima tahun yang lalu dalam kes Malaya dan hampir enam puluh tahun dalam kes Malaysia lebih banyak disandarkan pada pertimbangan-pertimbangan sejarah daripada disandarkan pada pertimbangan-pertimbangan lain.

Pada hemat penulis, amat mustahak kesinambungan teras tamadun Malaysia dipertahankan dan terus dipelihara. Tetapi pada masa yang sama harus difikirkan bagaimana teras ini boleh diperkukuhkan sama ada dengan cara menambah unsur-unsur universal yang baru atau menyemak semula interpretasi penerimaan rakyat terhadap unsur-unsur teras lama yang tertentu.

Penerimaan rakyat Malaysia terhadap unsur-unsur ini telah pun termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Tetapi lebih enam puluh tahun kemudiannya ada pihak-pihak yang mempertikaikan kewajaran teras lama ini dipertahankan.

Mereka mahu teras ini dibuang dan digantikan dengan teras baru supaya ia lebih adil kepada kaum bukan Melayu dan agama-agama bukan Islam. Timbulnya reaksi seperti ini terhadap teras asal tamadun Malaysia bukanlah suatu perkara yang memeranjatkan.

Dari suatu segi, kita cukup memahaminya kerana setelah berlalunya lebih enam dekad kemerdekaan ternyata banyak perkembangan dan kemajuan yang berlaku di negara ini yang antara lainnya dimungkinkan oleh kemunasabahan dan kekuatan teras asal itu sendiri.

Terdapat banyak masalah dan ketidakadilan dewasa ini yang bukan sahaja dialami oleh kaum-kaum bukan Melayu tetapi juga oleh orang Melayu. Tidak harus dilupakan juga ialah pengaruh idea dan fahaman daripada luar negara. Keterbukaan negara ini kepada pengaruh dunia luar, terutamanya dari negara-negara Barat apatah lagi di zaman globalisasi, meninggalkan kesan besar ke atas pemikiran dan cara berfikir golongan terdidik rakyat Malaysia.

Isu-isu yang diilhamkan dan dicanangkan di Barat seperti isu hak-hak asasi manusia, isu demokrasi dan pendemokrasian, isu pluralisme keagamaan dan isu “ancaman Islam” yang lumrahnya ditelek dari kacamata orang Barat turut mempengaruhi pemikiran politik dan wacana intelektual rakyat Malaysia.

Oleh kerana idea-idea dan masalah-masalah baru yang timbul dalam masyarakat tidak ditangani dengan bijaksana sedangkan sesetengah idea dan masalah baru itu serius sifatnya dan boleh mempunyai implikasi besar kepada negara, maka kekeliruan dan juga ketidakpuasan terhadap teras tamadun dan institusi-institusi asas negara semakin menular dan berleluasa.

Kritikan baru

Demi kebaikan dan kesejahteraan Malaysia, kritikan-kritikan baru terhadap teras asal tamadun Malaysia harus dilayani dengan saksama dan bijaksana, dan bukan dipandang remeh atau sekadar dicemuhi tanpa hujah-hujah yang meyakinkan. Kritikan-kritikan ini sebenarnya mewajarkan kita untuk memikirkan hujah-hujah baru bagi menegakkan kebenaran fakta-fakta lama yang mula disangsikan itu.

Unsur-unsur teras tamadun Malaysia yang telah saya sebutkan tadi memang masih wajar untuk diteruskan tetapi kewajarannya mesti dipertahankan dengan mengemukakan hujah-hujah baru yang mengambil kira lebih enam puluh tahun pembangunan dan kemajuan negara dan dampak globalisasi.

Di antara unsur-unsur ini ternyata bahawa kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan hak-hak istimewa bangsa Melayu dan kaum bumiputera merupakan isu yang paling banyak diperkatakan di kalangan orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Dalam masa kebelakangan ini isu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara lebih banyak dibicarakan di kalangan orang-orang Melayu. Mereka cukup bimbang dengan masa depan kedudukan dan peranan bahasa Melayu terutamanya sebagai bahasa ilmu pengetahuan.

Malahan mereka melihat adanya ancaman terhadap bahasa Melayu. Adalah wajar rasa kebimbangan ini dibincangkan oleh masyarakat Melayu terutamanya di kalangan cendekiawan dan pemimpinnya. Namun demikian, isu kedudakan dan kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara hendaklah dilihat sebagai isu ketamadunan seluruh Malaysia dan bukannya isu masyarakat Melayu sahaja.

Menyentuh kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara, ia tidak harus dipertahankan oleh masyarakat Melayu Islam atas alasan sejarah semata-mata, iaitu dengan hujah bahawa agama Islam sudah bertapak di negara ini lama sebelum tibanya kaum India dan Cina yang majoritinya berlainan agama.

Pertimbangan sejarah mempunyai nilai yang tersendiri tetapi biasanya hujah-hujah yang berasaskan fakta sejarah sahaja didapati mudah kehilangan daya tarikannya, lalu terhakis daripada memori kolektif rakyat. Generasi muda semakin buta sejarah. Peranan penting sejarah dalam mencorakkan pembinaan teras asal negara dan tamadun Malaysia kurang mendapat tempat dalam pemikiran mereka.

Kita harus memberi perhatian terhadap perkembangan pemikiran generasi muda ini dan menanganinya dengan menyampaikan pemikiran yang lebih baik lagi progresif.

Ini tidak bermakna bahawa pertimbangan sejarah dibiarkan sahaja sehingga diketepikan. Kita harus terus menerus memberi pendidikan sejarah yang relevan kepada pembangunan Malaysia kepada generasi muda.

Tetapi pada masa yang sama kita harus menyedari keterbatasan keberkesanan hujah-hujah yang berorientasikan sejarah. Pertimbangan kependudukan atau demografik juga penting. Memang kedudukan Islam sebagai agama rasmi boleh diwajarkan menerusi hujah demografik, iaitu bahawasanya agama ini dianuti oleh masyarakat majoriti Malaysia.

Namun demikian, pada hemat penulis, hujah paling bernilai adalah sebenarnya hujah yang merujuk kepada nilai dalaman atau nilai intrinsik agama Isam itu sendiri. Islam mengandungi nilai-nilai universal terbanyak dan termoden ungkapannya berbanding dengan agama-agama lain – yang sesetengahnya dimiliki bersama – yang boleh memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan tamadun Malaysia seluruhnya.

Sekiranya kita ingin mewujudkan teras tamadun Malaysia yang bersifat universal atau melebarkan teras yang ada supaya lebih universal sifatnya, maka Islam boleh memainkan peranan yang penting. Dengan kekayaan sumber keruhanian dan intelektualnya dan peranan positifnya yang bersifat inklusif dalam pembangunan tamadun umat manusia di zaman lampau termasuklah kejayaannya dalam menangani isu kemajmukan dan kepelbagaian etnik dan agama seperti yang pernah ditegaskan dan dikagumi oleh ahli sejarah terkenal berbangsa Inggeris, Arnold Toynbee, Islam mampu memberi sumbangan besar kepada pembangunan masa depan tamadun Malaysia yang menguntungkan semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Tetapi itu hanya boleh menjadi kenyataan sekiranya masyarakat Melayu Islam sanggup mengubah paradigma pemikiran mereka dengan menonjolkan dimensi universal ajaran-ajaran Islam. Ini juga bermakna mereka mesti menghayati dialog budaya dengan masyarakat bukan Islam.

Umat Islam di Malaysia juga harus menonjolkan ajaran Islam tentang keadilan sosial. Keadilan sosial seharusnya mencirikan tamadun Malaysia. Dalam hal ini, isu hak-hak istimewa kaum Melayu dan Bumiputera yang kian dipertikaikan dalam masyarakat harus dibincangkan dalam konteks ajaran universal agama Islam yang menekankan prinsip-prinsip keadilan sosial.

Tetapi apa juga ketidakpuasan di kalangan rakyat Malaysia terhadap mana-mana unsur pada teras asal tamadun Malaysia haruslah dibincangkan dengan semangat permuafakatan. Permuafakatan itu sendiri harus menjadi sebahagian penting daripada budaya dan tamadun Malaysia.

Pada umumnya, bolehlah dikatakan bahawa menerusi penghayatan ajaran-ajaran Islam yang universal dan falsafah keadilan sosialnya yang melampaui batasan kaum dan agama, Islam boleh memberi sumbangan besar lagi bererti kepada penghatan cita-cita “kesatuan dalam kepelbagaian” dalam pembangunan tamadun Malaysia.


OSMAN BAKAR ialah Penyandang Kursi Al-Ghazali, ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS