PARLIMEN l Pentadbiran bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob membelanjakan lebih RM62 juta ketika untuk menjenamakan semula kerajaan ketika itu sebagai ‘Keluarga Malaysia’.
Jumlah itu adalah lebih 98 peratus daripada keseluruhan RM62,764,107.25 peruntukan untuk penjenamaan kerajaan di bawah tiga perdana menteri sejak Mac 2020 hingga 30 Januari lalu.
Penjenamaan Kerajaan Prihatin di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin, pula berjumlah RM181,752.20.

“Penganjuran program berkaitan penjenamaan semula kerajaan iaitu Kerajaan Prihatin, Keluarga Malaysia dan Malaysia Madani, melibatkan peruntukan yang telah dibelanjakan sehingga 30 Januari lalu adalah sebanyak RM62,764,107.25.
“Pecahan mengikut programadalah seperti berikut: 1) Kerajaan Prihatin: RM181,752.20; 2) Keluarga Malaysia: RM62,093,139.05; dan 3) Malaysia Madani: RM489,216,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Armizan Mohd Ali, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Dia berkata demikian ketika menjawap soalan Aminolhuda Hasan (PH-Sri Gading) yang meminta kerajaan menjelaskan mengenai peruntukan dibelanjakan bagi penjenamaan kerajaan ketika pentadbiran Muhyiddin, Ismail Sabri dan Anwar Ibrahim.

Menurut Armizan, jumlah perbelanjaan berkenaan adalah berdasarkan program-program jelajah jerayawara yang telah dilaksanakan semasa pentadbiran perdana menteri kelapan hingga kini.
Susulan Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan pimpinan PH yang diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin menjadi perdana menteri kelapan pada 1 Mac 2020.
“Hanya satu program Kerajaan Prihatin dilaksanakan semasa pentadbiran Muhyiddin memandangkan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Armizan.
Bagaimanapun, Muhyiddin juga tumbang apabila Umno menarik sokongan terhadapnya dan ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri pula diangkat menjadi perdana menteri kesembilan selama 14 bulan, iaitu mulai Ogos 2021 hingga November 2022 sebelum Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun lalu.

Manakala Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 November 2022 dan melancarkan Malaysia Madani pada 19 Januari lalu.
