Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman fitnah: Mahkamah tolak permohonan Habibul batalkan tuntutan balas Saddiq

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Norakhmar Mohd Sani menolak permohonan bekas penasihat kepada bekas perdana menteri Najib Razak untuk membatalkan tuntutan balas yang dikemukakan oleh Syed Saddiq Abdul Rahman.

Habibul Rahman Kadir yang merupakan plaintif dalam kes itu sebelum ini menyaman Syed Saddiq selaku defendan kerana mendakwa berlaku konspirasi untuk melemahkan Bersatu.

Syed Saddiq, yang juga bekas menteri belia dan sukan kemudian mengemukakan tuntutan balas terhadap Habibul.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, peguam Beatrice Chin Yuen Xin dan Sakdiyah Saleh - masing-masing mewakili Syed Saddiq dan Habibul - mengesahkan keputusan prosiding.

Chin berkata hakim selepas mempertimbangkan hujah pihak-pihak terlibat - menolak permohonan Habibul untuk membatalkan tuntutan balas itu dan mengarahkan plaintif membayar kos RM4,000 kepada defendan.

Kedua-dua peguam juga mengesahkan bahawa mahkamah menasihati kedua-dua pihak untuk mempertimbangkan proses mediasi bagi menyelesaikan tindakan undang-undang berkenaan.

Pengurusan kes ditetapkan pada 18 April.

Melalui tuntutan balas itu, defendan mendakwa bahawa saman sivil terhadapnya dilakukan untuk menakut-nakutkannya dan untuk mendapatkan keuntungan politik.

Pada 7 Okt 2021 dalam satu kenyataan media, Habibul mengumumkan akan memfailkan saman sivil terhadap pengasas Muda itu berhubung dakwaan membabitkan Bersatu, yang kini menjadi sebahagian daripada pembangkang. Saman itu pada mulanya difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Nov tahun yang sama.

Bagaimanapun, tindakan undang-undang itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebelum menubuhkan Muda, Syed Saddiq adalah antara pengasas Bersatu, yang diketuai oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Habibul menyaman Syed Saddiq berhubung kenyataannya yang dibuat pada sidang media di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur pada 2 Okt 2017.

Semasa sidang akhbar itu, Syed Saddiq mendakwa terdapat konspirasi yang disokong oleh pemimpin parti yang tidak dinamakan, untuk melemahkan Bersatu dengan "mengancam atau merasuah" pemimpinnya.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 27 Dis 2021, defendan mendakwa saman fitnah itu tidak berasas dan merupakan salah guna proses mahkamah.

Defendan antara lain menegaskan dia tidak pernah membuat kenyataan fitnah terhadap plaintif semasa sidang media berkenaan.

Ahli parlimen itu juga mendakwa reputasi Habibul tidak terjejas ekoran kenyataan itu kerana saman tersebut tidak difailkan sebaik saja sidang medianya dibuat.

Dalam jawapan kepada pembelaan, Habibul berkata kenyataan Syed Saddiq dalam sidang media itu boleh difahami orang awam sebagai merujuk kepada dirinya (Habibul).

Menerusi pemfailan yang dibuat pada 2 Jan tahun lepas, plaintif berhujah walaupun defendan menafikan laporan media mengenai sidang media itu ada menyebut namanya, Habibul mendakwa saudara-mara dan rakan-rakannya terus bertanya kepadanya mengenai tuduhan itu sehinggalah 2021.

Habibul turut menafikan dakwaan Syed Saddiq bahawa saman sivil itu adalah untuk kepentingan politik atau tujuan ugutan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS