Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesakit wajar diberi rawatan tanpa mengira kod etika pakaian - Zaliha
Diterbitkan:  Feb 15, 2023 9:44 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

Pengamal perubatan perlu mengutamakan tugsa merawat pesakit tanpa mengira latar belakang kaum atau kod etika berpakaian, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Kenyataan itu hadir selepas seorang wanita didakwa dihalang mendapat rawatan di Hospital Kampar di Perak kerana memakai seluar pendek.

Pihak hospital juga dilaporkan telah menegur seorang doktor yang terlibat dalam kejadian itu, dan menafikan telah mengeluarkan sebarang arahan untuk menafikan rawatan kepada pesakit berkenaan berdasarkan cara dia berpakaian.

Dalam catatan di Facebook malam ini, Zaliha berkata semua pengamal perubatan mesti mengingati ikrar mereka untuk membantu pesakit sebaik mungkin.

"Merujuk kepada laporan berita berhubung kejadian melibatkan seorang wanita berseluar pendek dihalang masuk ke Hospital Kampar, Perak.

"Saya ingin menegaskan, secara prinsipnya setiap pesakit wajar diberi keutamaan rawatan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun kod etika pakaian.

“Setiap pengamal perubatan perlu menjaga etika mereka setelah mengangkat sumpah. Hippocratic Oath yang diikrar oleh para doktor dan pengamal perubatan termasuk kesediaan membantu pesakit sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Kementerian Kesihatan sedang menyiasat insiden pada 13 Feb, di mana kakitangan hospital berkenaan didakwa menafikan rawatan terhadap seorang wanita kerana dikatakan memakai pakaian yang tidak sesuai.

Sementara itu, akhbar berbahasa Inggeris The Star melaporkan pengurusan Hospital Kampar telah menegur doktor yang terlibat dalam kejadian itu.

Ia memetik pengarah hospital Dr Khairul Azha Azam, yang berkata pihaknya juga sedang mengambil tindakan untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.

“Semua pesakit akan diberi rawatan dalam apa jua keadaan terutama ketika kecemasan.

“Pengumuman telah dibuat untuk memaklumkan kepada kakitangan hospital supaya tidak mendiskriminasi pesakit berdasarkan cara mereka berpakaian,” katanya.

Insiden itu melibatkan Damien Chan yang membawa rakan teman wanita ke Hospital Kampar selepas dia mengadu sakit perut ketika bermain badminton.

Chan memberitahu Nanyang Siang Pau bahawa wanita itu tidak menerima rawatan sebaik tiba di hospital kerana dia memakai seluar pendek dan dia terpaksa memandu pulang ke asrama untuk mengambil seluar panjang.

Wanita itu dilaporkan hanya dibenarkan masuk ke bahagian kecemasan selepas menukar pakaiannya dengan seluar panjang.

Laporan itu menambah, kakitangan hospital mempertahankan tindakan mereka sebagai mematuhi peraturan hospital.

Chan dan rakan-rakannya didakwa dimarahi dan dihalau keluar apabila mereka mendesak kakitangan berkenaan untuk mendapatkan jawapan lanjut. Kumpulan itu kemudiannya membuat aduan rasmi mengenai kejadian itu kepada pihak pengurusan hospital.

Satu lagi kepolisan moral?

Ini mengingatkan kes seorang wanita dilarang memasuki ibu pejabat polis Daerah Kajang untuk membuat laporan kemalangan jalan raya kerana memakai seluar pendek.

Anggota yang bertugas menasihatkan wanita itu untuk menukar seluar panjang sebelum dibenarkan membuat laporan polis.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kejadian itu berpunca daripada "salah faham" antara wanita itu dan anggota bertugas.

Acryl Sani jugamengingatkan orang ramai supaya mematuhi prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan apabila berkunjung ke pejabat kerajaan.

Kes itu mendapat reaksi meluas daripada orang ramai dan ahli politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS