Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, meminta Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mempertimbang semula sesi bersama media secara berkala seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Bercakap kepada pemberita di Putrajaya malam tadi, Saifuddin berkata perkara itu diusulkannya kepada Acryl Sani ketika Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhasrat membina jalinan kerja lebih kondusif dengan pihak media.
Kata Saifuddin, KDN juga menerima banyak maklum balas khususnya daripada media dan berpendapat permintaan itu ada munasabahnya.
Pada masa sama, menurut ahli Dewan Negara itu, dia juga melihat logik sesi berkenaan ditiadakan selepas mendengar pandangan pihak polis berhubung perkara berkenaan.
“Cuma dalam keadaan sekarang ketika KDN berharap untuk membina jalinan kerja yang lebih kondusif dengan rakan-rakan media sebagai rakan strategik maka saya mengusulkan kepada Ketua Polis Negara tadi secara langsung untuk ia diadakan semula.
“Saya beri peluang kepada Ketua Polis Negara untuk menimbangkan cadangan itu dan saya harap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas majlis libat urus bersama media itu.
Terdahulu, ketika berucap, Saifuddin berkata, sebelum ini sesi sidang media PDRM sering diadakan namun atas alasan tertentu ia dihentikan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Saifuddin berkata KDN kini dalam proses untuk mengeluarkan kanak-kanak yang berada di dalam depoh tahanan imigresen di seluruh negara.
Katanya dia juga mempunyai jumlah sebenar kanak-kanak dan keberadaan mereka.
"Saya dalam proses sedikit masa terdekat ini untuk mengeluarkan kanak-kanak itu daripada depoh tahanan tersebut.
"Bagi tujuan tersebut saya juga sedang berurusan dan terlibat dalam perbincangan bersama beberapa kumpulan masyarakat madani iaitu badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai pengkhususan dan kepakaran dalam penjagaan kanak-kanak," katanya.
Tambah Saifuddin, pihaknya sangat serius dalam menguruskan perkara itu selepas isu berkenaan mendapat perhatian aktivis hak asasi manusia dan badan antarabangsa.
Saifuddin juga berkongsi sikap perikemanusiaan serta kebajikan yang ditunjukkan Malaysia dalam menyelamatkan dan menghantar pulang.
Katanya, baru-baru ini seorang kanak-kanak dari Bangladesh yang masuk dalam kontena kapal kita ditemui di pelabuhan dan diselamatkan.
"Kemudian mangsa dihantar ke Hospital Klang dan diberikan rawatan kesihatannya sebelum kita dapat menghubungi Kedutaan Bangladesh untuk menyiapkan dokumen perjalanan dia.
"Pada minggu depan KDN akan menguruskan tiket penerbangan pulang untuk kanak-kanak itu dan menghantar dia balik ke negara asal selain itu perkara ini juga telah selesai dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri Bangladesh semasa lawatan kerja saya ke negara tersebut,"tegasnya.
