Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menafikan mereka terlibat dalam projek pembekalan bantuan bakul makanan yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat.
Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata mereka menerima aduan daripada sebuah syarikat swasta yang melaporkan menerima pesanan pembelian dan invois menggunakan kepala surat rasmi berlogo Mais bagi mendapatkan dana projek pembekalan bantuan bakul makanan.
Katanya hasil semakan mendapati kedua-dua dokumen berkenaan adalah palsu dan Mais tidak terlibat dengan projek pembekalan bakul makanan serta tidak pernah melantik mana-mana pihak menjadi ejen untuk projek bantuan yang berkaitan.
"Mais akan melaporkan perkara ini kepada polis agar siasatan dapat dibuat dan tindakan undang-undang yang tegas dapat diambil terhadap pihak yang melakukan jenayah pemalsuan dokumen di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun dan dikenakan denda," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Shahir berkata Mais melihat perbuatan pemalsuan dokumen itu adalah jenayah yang serius kerana ia menjejaskan imej institusi tersebut dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada umat Islam khususnya di Selangor.
Justeru itu, pihaknya menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dengan mana-mana pihak yang menggunakan nama Mais untuk tujuan mendapatkan sumbangan serta apa-apa kepentingan lain.
"Jika terdapat perkara yang meragukan, orang ramai boleh mendapatkan pengesahan daripada Mais dan merujuk kepada kami melalui talian 03-5515 3400 atau e-melkan terus ke [email protected]," katanya.
Sebuah portal berita pada Selasa melaporkan seorang usahawan disyaki menggunakan logo Mais pada kepala surat dokumen pesanan pembelian untuk mendapatkan dana berjumlah RM660,000 bagi melaksanakan projek bantuan bakul makanan.
- Bernama
