Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya bukan suspek, kata Muhyiddin selepas dipanggil SPRM

Selepas disoal siasat oleh SPRM, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mempertahan bahawa dia tidak bersalah dalam isu melibatkan program Jana Wibawa untuk kontraktor bumiputera ketika pentadbirannya.

Muhyiddin menjelaskan dia dipanggil badan antirasuah itu bagi membantu siasatan sebagai saksi dan bukannya suspek.

Dia juga menegaskan pegawai penyiasat SPRM tidak menyoalnya berhubung dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa pentadbirannya sebelum ini menyalahgunakan berbilion ringgit.

"Tak ada dengan RM600 billion langsung tak tanya saya. RM530 billion atau 86 bilion atau 4.5 billion,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen derma darah di Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur pagi ini.

Muhyiddin berkata dia dipanggil untuk memberi kenyataan khusus mengenai Jana Wibawa.

"Jana Wibawa ialah projek yang diusahakan MOF yang dicadangkan oleh menteri kewangan Tengku Zafrul waktu itu. Saya setuju, waktu Covid-19, antara paling teruk terkesan ialah kontraktor.

"Peraturan ini dihadkan kepada MOF yang ada kuasa menentu dan memilih ialah Menteri kewangan atau kementerian yang terlibat dalam projek yang beri pertimbangan, memperhalusi, sama ada layak atau tidak.

"Saya tanya adakah saya suspek. Dia (pegawai SPRM) kata bukan suspek. Suspek maknanya mungkin saya akan dituduh. Cuma saya diminta bantu jelaskan hal yang saya jelaskan tadi,” katanya.

Muhyiddin pertimbang ambil tindakan undang-undang

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendedahkan dia mendengar bahawa SPRM akan memanggil Zafrul untuk membantu siasatan berhubung projek Jana Wibawa.

"Itu terpulang kepada mereka untuk mendapatkan penjelasan daripadanya (Zafrul)."

Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa kelulusan bagi projek pembangunan luar bandar bernilai RM5.7 bilion di bawah program Jana Wibawa telah dihentikan sementara sehingga prosedur perolehan dan perbelanjaan yang ditetapkan oleh Perbendaharaan dipatuhi.

Zahid berkata, Kementerian Kewangan yang turut diketuai Anwar mahu menyemak sama ada mereka dianugerahkan projek itu mengikut proses perolehan dan keperluan tadbir urus.

Semalam, SPRM merekodkan kenyataan Muhyiddin berhubung siasatan ke atas akaun bank Bersatu yang telah dibekukan.

Selain Muhyiddin, beberapa pemimpin kanan Bersatu lain juga pernah disoal siasat SPRM sebelum ini.

Dalam sidang media hari ini, Muhyiddin menegaskan bahawa SPRM menyoalnya semata-mata berhubung projek Jana Wibawa menunjukkan bahawa dakwaan Anwar terhadapnya bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya.

Justeru, katanya, dia sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang selanjutnya untuk menangkis dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

"Kita dah minta peguam kita teliti. Tak berhenti-henti fitnah terhadap saya. Saya ini dah 50 tahun dalam kerajaan, tiada kes tuduhan rasuah kepada saya. Tiada salah guna kuasa.

"Saya ikut undang-undang. Saya nak tegaskan saya pegang teguh pada keluhuran undang-undang tapi mereka tak yakin. Mereka golongkan saya macam golongan perompak yang lain. I’m not (Saya bukan)," katanya.

Awal bulan ini, Malaysiakini melaporkan bahawa SPRM telah membekukan dua akaun bank Bersatu untuk membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan. Kedua-dua akaun itu dilaporkan mengandungi kira-kira RM40 juta.

Sumber SPRM mendakwa pembekuan akaun itu atas dakwaan Bersatu menerima sumbangan berjumlah kira-kira RM300 juta daripada kira-kira 10 kontraktor yang menerima pelbagai projek ketika parti itu mentadbir kerajaan.

Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, telah menafikan pertuduhan itu dan berkata bahawa dia akan menulis surat kepada SPRM meminta akaun itu tidak dibekukan kerana ia menjejaskan operasi parti, seperti membayar gaji kakitangan dan sewa pejabat.

Lihat Komen
ADS