Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'UUM, KPT perlu bertanggungjawab kes kematian Vinosiny'
Diterbitkan:  Feb 19, 2023 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa bertanggungjawab terhadap kematian pelajar S Vinosiny akibat terkena renjatan elektrik di kampus universiti itu di Sintok, pada 21 Mei tahun lalu.

Student Progressive Front UUM (SPFUUM) berkata, banyak kemudahan di kampus UUM usang dan jarang diselenggara sehingga meningkatkan risiko keselamatan kepada pelajar.

Menurut mereka sebelum kes kematian pelajar berkenaan, terdapat satu kejadian kebakaran dalam kampus UUM pada Julai 2021, disyaki berpunca daripada litar pintas.

“Selain itu, banyak universiti awam turut mengalami masalah keusangan fasiliti yang serius. Sekiranya KPT dan UUM mengambil serius dengan masalah-masalah keselamatan pelajar yang berlaku, tragedi Vinosiny tidak mungkin berlaku sama sekali,” katanya.

Menurut SPFUUM, Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Nordin juga kelihatan tidak mengambil berat mengenai keselamatan pelajar walaupun beberapa kali mengulangi bahawa KPT amat mementingkan isu keselamatan kampus.

Ini katanya, berdasarkan jawapan bertulis menteri berkenaan di parlimen yang menyatakan polis masih belum menyelesaikan siasatan mereka terhadap kematian Vinosiny.

Untuk rekod, pihak polis sebelum ini mengesahkan renjatan elektrik merupakan punca kematian pelajar perakuanan berusia 21 tahun itu.

Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad berkata mendiang menghidap penyakit fibrosis miokardium, yang meningkatkan risiko seseorang untuk mengalami gangguan ritma jantung.

"Bagaimanapun, sekiranya tidak berlakunya kebocoran arus elektrik di bilik asrama, insiden malang ini tidak akan berlaku.

"Selain itu, doktor forensik memaklumkan bahawa terdapat kesan terbakar yang jelas di muka dan tangan kanan Vinosiny, ini menunjukkan arus elektrik yang terkena pada mendiang kemungkinan besar bukan hanya arus voltan rendah,” kata SPFUUM.

Persatuan pelajar itu turut mempersoalkan profesionalisme polis dalam mengendalikan kes berkenaan apabila pihak berkuasa itu menangguhkan pendedahan laporan tersebut sehingga ke tahun ini.

Kumpulan pelajar itu berkata mereka juga menyokong keluarga Vinosiny memfailkan tindakan sivil terhadap pihak yang cuai seperti UUM, kerajaan, polis dan peguam negara.

"Ini penting bukan sahaja untuk menuntut keadilan kepada mendiang, malah memberi amaran kepada pihak bertanggungjawab supaya mengelak tragedi sebegini berulang.

“SPFUUM berjanji akan terus bersolidariti bersama keluarga mendiang sehingga keadilan dituntut,” kata mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS