Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO anggap Halimah tak bertangungjawab kait autisme dengan makanan
Diterbitkan:  Feb 20, 2023 12:16 PM
Dikemaskini: 4:16 AM

Kumpulan Autism Inclusiveness Direct Action Group (Aida) dan Autism Initiatives Malaysia-High (Aim-High) tampil mengkritik Dr Halimah Ali berhubung kenyataan ahli parlimen terbabit yang mengaitkan kualiti makanan dengan autisme.

Ia berlaku selepas Halimah - dalam ucapannya di Dewan Rakyat - mendakwa "makanan berkualiti rendah" yang ditawarkan melalui inisiatif Menu Rahmah boleh meningkatkan risiko kesihatan, termasuk autisme.

Dalam kenyataannya Aida berkata Halimah tidak bertanggungjawab apabila membuat kenyataan yang mengundang stigma kepada komuniti autisme ketika dia sendiri merupakan seorang doktor terlatih.

“Kenyataan Halimah adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berdasarkan fakta atau data saintifik.

"Hakikatnya komuniti autistik dan penjaga mereka menghadapi banyak cabaran dalam pengalaman hidup masing-masing.

“Kenyataan Halimah memberi tanggapan yang salah kepada orang ramai, seterusnya menimbulkan stigma dan kepercayaan yang besar bahawa autisme berpunca daripada penjagaan yang kurang baik dan ditentukan oleh tahap pendapatan anda,” katanya.

Halimah membuat kenyataan tersebut ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat pada Selasa lalu dan menyentuh inisiatif Menu Rahmah yang dilancarkan kerajaan pada Jan lalu.

Melalui inisiatif itu pengguna boleh membeli makanan ditawarkan peniaga yang mengambil bahagian pada harga RM5 dan ke bawah untuk hidangan terdiri daripada nasi, ayam atau ikan, sayur-sayuran dan air kosong.

Halimah kemudian menafikan dia berkata makanan murah akan menyebabkan penyakit sebaliknya cuma mengingatkan penjual supaya menyediakan makanan yang sihat dan tidak berkompromi dengan kualiti hidangan masing-masing.

Rujuk ke jawatankuasa parlimen

Catatan hansard parlimen pula menunjukkan Halimah berkata: "Kita tak mahu shortcut (jalan pintas), kita tak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang low quality. Saya tidak ada masalah dengan istilah rahmah atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low quality dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya."

Sementara itu, Aim-High berkata kenyataan Halimah adalah "sangat mengejutkan" kerana tidak disokong oleh sains.

"Ia adalah tidak bertanggungjawab dan tidak sah bagi komuniti autistik kerana kita dilahirkan dengan cara ini dan ia bukan disebabkan oleh pengambilan makanan," kata Aim-High yang turut mengucapkan terima kasih kepada Ras Adiba Radzi yang mahu ahli parlimen bertanggungjawab ke atas tingkah laku sendiri.

Dia turut menegaskan perlunya sebuah majlis autisme diwujudkan di negara ini.

Pada Jumaat lalu anggota Dewan Negara terbabit melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Halimah yang mengaitkan tawaran Menu Rahmah dengan risiko kesihatan seperti autisme dan menganggap ia suatu penghinaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Dia yang juga pengerusi Bernama turut menggesa ahli parlimen PN itu dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk tindakan selanjutnya.

"Selain itu, Klinik Subfertiliti di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara harus terlibat dalam menangani autisme semasa lahir dan memperluaskan bilangan Pemulihan Autisme Berfungsi Tinggi dalam Pusat Komuniti di seluruh negara untuk membangunkan potensi kanak-kanak autisme,” katanya.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia Dr Andrew Mohanraj pula berkata makanan kos rendah adalah satu cara untuk menyediakan nutrisi asas kepada orang dewasa dan kanak-kanak yang mungkin tidak mempunyai akses kepada makanan biasa kerana pelbagai sebab, seperti kemiskinan atau kekurangan makanan.

“Malah, menyediakan makanan berkhasiat kepada kanak-kanak adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan mereka serta boleh memberi impak positif kepada kesihatan dan kesejahteraan mereka,” katanya.

Dia turut menggesa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya segera menubuhkan Majlis Autisme Kebangsaan dan mewajibkan kes autisme dilaporkan.

“Penting untuk kita bergantung pada maklumat berasaskan bukti dan penyelidikan saintifik apabila membuat dakwaan tentang kesihatan dan pemakanan. Tiada bukti saintifik yang boleh dipercayai yang mengaitkan makanan dengan autisme pada kanak-kanak.

“Oleh itu, adalah penting untuk menyokong inisiatif yang menyediakan makanan berkhasiat kepada mereka yang memerlukannya, termasuk kanak-kanak, dan berusaha ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih saksama dan sihat untuk semua,” kata Mohanraj.

Lihat Komen
ADS