Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hentikan persepsi negatif terhadap Inisiatif Jalur dan Laluan

Pemimpin politik digesa menghentikan sentimen negatif berkaitan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang juga dikenali sebagai Laluan Sutera Baru.

Pengerusi Kelab Sahabat Laluan Sutera Malaysia Samuel Lee berkata projek BRI yang diterajui China itu sama sekali tidak menyentuh soal kedaulatan sesebuah negara termasuk Malaysia.

Menurutnya setiap pelaksanaan projek BRI di negara-negara terlibat adalah berbeza dan di Malaysia ia ada gaya tersendiri.

"Setiap pelaksanaan yang penting adalah menjaga kedaulautan negara. Kedaulatan dan ketenteraman negara tidak boleh tergadai melalui projek pembangunan. Itu adalah batasannya.

"Projek ini sudah berterusan selama 10 tahun walaupun pentadbiran kerajaan bertukar daripada satu parti ke parti yang lain," katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas sambutan ulang tahun ke-10 Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Menteri di Kedutaan China ke Malaysia, Tang Rui, Timbalan Exco Pentadbiran Awam, Pembangunan Wilayah, Kesejahteraan Masyarakat dan Integriti Kelantan, Mohd Huzaimy Che Husin dan Timbalan Pengarah Projek ECRL Sdn Bhd, Ye Xiao Lee.

Samuel Lee

Lee berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan wujudnya agenda digerakkan oleh DAP melalui projek Jalan Sutera Baru dan ia menjadi modal kempen pada PRU ke-15 lalu.

Sementara itu mengulas mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di bawah BRI, Rui berkata, ia sudah mencapai kemajuan lebih 40 peratus setakat Feb ini.

Menurutnya, kemajuan projek berkenaan menggembirakan kerana ia akan memberi manfaat kepada penduduk negara ini dan juga Kelantan.

Selain itu, dia berkata, projek itu akan menyeimbangkan pembangunan antara Kelantan dengan negeri lain di Semenanjung Malaysia.

"Bagi pembinaan jajaran di seksyen A (dari Kota Bharu ke Dungun) dan B (Dungun ke Mentakab) ia dijangka siap pada 2026, manakala seksyen C (Mentakab ke Pelabuhan Klang) pada 2027.

"Saya gembira melihat kemajuan projek ECRL yang menunjukkan kerjasama antara Malaysia dengan China," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah, berkata projek ECRL membawa peluang baru untuk pembangunan ekonomi dan kepelbagaian industri di kawasan Pantai Timur khususnya Kelantan.

Katanya, ia juga akan memberi manfaat kepada industri pelancongan negeri terbabit.

"Pada masa yang sama, inisiatif BRI akan menguatkan kerjasama serta pertukaran antara negara dan membawa peluang baru kepada pembangunan ekonomi Kelantan," katanya melalui ucapan yang diwakilkan kepada Mohd Huzaimy.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS