Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekalan kurang: Wee bawa telur masuk Dewan Rakyat
Diterbitkan:  Feb 22, 2023 6:30 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

PARLIMEN | Isu bekalan telur untuk kegunaan rakyat negara ini terus menjadi perhatian ramai dan mendorong salah seorang pemimpin MCA hadir bersama 'bukti' semasa berbahas hari ini.

Menjelaskan situasi yang dialami sekarang, Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) menunjukkan tiga biji telur yang dihasilkan oleh dua negara berbeza.

Kata Wee dia tidak mahu kerajaan disalahkan apabila bekalan telur terus tidak mencukupi untuk kegunaan dalam negara, khususnya menjelang Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.

"Saya bawa telur ni dari India, saya beli 50 sen," katanya menunjukkan sebiji telur sebelum mengeluarkan satu lagi telur "dan ini adalah telur Malaysia."

Tambah presiden MCA itu lagi walaupun harga telur dari India itu lebih kecil saiznya namun harga lebih tinggi berbanding produk Malaysia - walaupun lebih besar - berharga lebih murah iaitu sekitar 45 sen.

Telur ayam kampung pula, katanya, berharga lebih mahal - lebih 70 sen - dan hanya mampu dibeli oleh orang yang berada.

Kerana itu, kata Wee, kerajaan perlu memberikan bantuan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana khususnya masyarakat Melayu yang terlibat dalam perniagaan membuat kuih.

Justeru Wee meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu untuk menjelaskan sama ada subsidi 10 sen yang diberikan sebelum ini dikekalkan atau tidak.

"Atau apa cara untuk membantu keluarga yang kurang berada? (Adakah) terus float (diapungkan) saja dan akan ditanggung oleh pengguna?" katanya semasa mengemukakan soalan pada sesi penggulungan Mohamad hari ini.

Mohamad Sabu

Sementara itu Mohamad berkata pemberian subsidi untuk penternak ayam dan pengeluar telur memang akan diteruskan sehingga Jun sebelum dikaji semula selepas itu.

Dia juga memaklumkan keputusan mengimport telur dari India merupakan langkah sementara dibuat kerajaan bagi mengatasi isu kekurangan bekalan produk tempatan ekoran pelbagai masalah termasuk pekerja.

"Pengeluar telur ini mampu mengeluarkan 500,000 telur sehari tetapi kerana kekurangan pekerja, pengeluar terpaksa tutup satu loji menyebabkan dia keluarkan hanya 300,000 telur sahaja.

"Dengan langkah diambil kerajaan - dari Jan hingga Mac - untuk permudahkan kemasukkan pekerja, maka dari situ kita lihat (berlaku) pertambahan pekerja di sektor ini termasuk ladang ayam tadi, justeru kerajaan menjangkakan masalah ini akan pulih,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS