Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

PAS mungkin pernah disamakan seperti Taliban, tetapi bagi Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kasim, dia memiliki pendapat berbeza.

Kata Shahidan, PAS didukung golongan ‘fanatik agama’ yang mempunyai toleransi tinggi terhadap penganut agama-agama lain.

Shahidan menyebut mengenai patung Buddha berbaring terpanjang di Malaysia yang dibina di Kelantan bagi menunjukkan contoh toleransi parti Islam itu.

“Kelantan ada patung Buddha terpanjang. Ada pernah dia buat ganggu apa-apa?

"Toleransi agama cukup tinggi bagi orang yang fanatik agama. Saya fanatik agama Islam. Saya bersongkok dari dulu, kini selamanya.

"Saya nak bagitahu lagi kuat agama, lagi bersifat toleransi tinggi.

“PAS akan mengamalkan terus pendirian dari segi agama, iaitu bila kita fanatik pada agama, kita sebenarnya menjadi orang baik," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Sebaliknya, Shahidan menyatakan kebimbangannya mengenai pengaruh pemikiran liberal.

"Yang jadi masalah ialah pemikiran liberal. Ada orang Islam kata, ini kami liberal. Liberal bukan pemikiran Islam. Orang liberal boleh bertukar-tukar tapi sekarang ini dituduh PAS ni kononnya Taliban dan sebagainya. Itu tuduhan daripada parti yang bercorak perkauman,” kata Shahidan.

Shahidan berkata dia tidak mempunyai masalah dengan parti berasaskan kaum seperti Umno, MCA dan MIC, tetapi parti perkauman perlu diubah.

“Parti yang berasaskan kaum, ok mereka boleh. Tapi parti perkauman perlu diubah. Terutama parti perkauman sudah berkawan dengan Umno dan sebagainya,” katanya.

Meskipun tidak menyebut secara langsung parti yang dimaksudkan, Shahidan dipercayai merujuk kepada DAP.

Shahidan merupakan bekas pemimpin Umno.

Sebelum keluar daripada itu dia menyokong kepimpinan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, dan menyokong kerjasama antara Umno dan Perikatan Nasional (PN).

Namun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dia digugurkan sebagai calon di kerusi parlimen Arau yang disandangnya selama lima penggal sejak 1986.

Shahidan kemudian bertanding di bawah tiket PAS dan berjaya mempertahankan kerusi berkenaan.

Dalam ucapannya di Parlimen hari ini, Shahidan turut membidas Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution yang dikatakannya mendakwa hanya golongan muda “tidak berpendidikan” menyokong PN.

Justeru dia meminta golongan muda supaya mengundi PN dalam enam pilihan raya negeri akan datang.

“Dia (Saifuddin) kata orang menyokong PN ni, orang yang tak ada pendidikan, naik motor. Mana boleh dia menghina orang macam tu.

“Orang yang sokong mereka (PH), orang ada pendidikan, orang handsome. Eh, mana boleh buat macam tu. Tak baik.

“Tapi tak apa orang muda. Dia cakap macam itu, saya nak orang muda, semua sekali sokong PN. Sokong PN untuk tawan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya.

Dalam ucapannya, Shahidan turut berjanji sekiranya PN berkuasa, gabungan itu akan memberi lebih banyak bantuan tunai kepada rakyat dan elaun kepada penjawat awam.

Meskipun menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberikan bonus RM700 kepada penjawat awam dalam Belanjawan 2023, dia menggesa jumlah itu dinaikkan kepada RM1,000 memandangkan keadaan ekonomi yang sukar bagi rakyat.

Lihat Komen
ADS