Setiap kali sebelum solat Jumaat, jemaah wajib mendengar khutbah yang dibacakan khatib. Penulis selalu bergurau dengan rakan-rakan yang bersekali ke solat Jumaat. “Apa intipati khutbah tadi?”. Selalunya soalan itu disambut gelak ketawa dan gagal dijawab dengan tuntas.
Tentunya perkara tersebut sering berlaku khususnya kepada jemaah lelaki yang berbondong-bondong ke masjid dan surau setiap kali Jumaat. Dan golongan wanita yang mungkin pernah menyertai solat Jumaat (selalunya di luar negara) dapat memahami perkara tersebut.
Mendengar khutbah Jumaat sangat dituntut, malah riwayat daripada Abu Hurairah menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: ‘Diamlah’ ketika imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka sesungguhnya kamu telah lagha.” (Riwayat al-Bukhari, 934)
Lagha di sini diertikan sebagai kelebihan Jumaatnya terbatal ataupun sia-sia manakala satu lagi pandangan, melepaskan pahala solat Jumaat dan seumpama solat Zohor semata-mata.
Khutbah Jumaat adalah ritual penting dalam kehidupan orang Islam. Ia memberikan peluang kepada umatnya untuk mengambil pengajaran daripada intipati yang disampaikan. Setiap minggu, hampir 2 bilion umat Islam serata dunia mendengarnya. Objektif utamanya adalah penyebaran dakwah. Sejauh manakah keberkesanannya?
Impak
Khutbah menyentuh soal kehidupan umat Islam dan sekalian alamnya. Ia memberi peringatan dan pengajaran. Manusia sifatnya perlu sentiasa diperingatkan tentang bagaimana kehidupannya perlu diteruskan dengan baik dan memberi rahmat kepada sekalian alam. Turut disentuh, soal kehidupan akan datang serta kisah silam sebagai iktibar dan teladan kepada para pendengar.
Lazim berlaku apabila mesej khutbah lenyap sejurus bilal mula melaungkan iqamah menyeru jemaah untuk menunaikan solat Jumaat. Begitu pantas mesejnya berlalu, ibarat masuk telinga kanan, keluar pun telinga kanan juga.

Islam mendidik umatnya untuk prihatin kepada kehidupan dan masyarakat sekelilingnya. Dan bagi Meningkatkan impak khutbah, mungkin turut bergantung kepada mesej serta cara penyampaiannya.
Selain rukun-rukun yang wajib dipatuhi ketika ia dibacakan, khatib perlu berperanan dalam meningkatkan keberkesanan khutbah sebagai antara medium komunikasi awam.
Pidato umum
Khatib dilantik atas keilmuannya tentang agama dan kecekapannya berucap di khalayak ramai. Mereka arif dengan persekitaran lokal, berkeupayaan dan berilmu. Ada juga khatib jemputan yang tentunya berilmu, bijaksana, berwibawa dan punya pengalaman setimpal dengan jemputan. Di sesetengah tempat, tauliah tidak menjadi perkara wajib.
Berkhutbah, seperti juga berpidato umum, perlu memenuhi beberapa aspek penting. Ada pendahuluan, mesej, rumusan, penutup serta lima lagi rukun khutbah yang perlu dipatuhi.
Penulis pernah merakamkan ucap tahniah kepada khatib kerana pengucapan khutbahnya yang mengkagumkan selepas solat di sebuah masjid di Pulau Pangkor dua dekad lalu. Merah padam muka sang khatib. Itu mungkin pertama kali dia menerima pujian dari jemaahnya.
Selain isi yang padu, suara yang jelas serta lantang, eye-contact turut memainkan peranan bagi memastikan pendengar fokus kepada khutbah. Lantunan suara yang melemah, kelesuan bacaan teks, gerak tubuh khatib yang longlai sehingga mengepit tongkat di celah ketiak kiri tentunya memberikan isyarat betapa tidak bersedianya pembaca khutbah.
Selain membaca teks khutbah yang diterima lebih awal, khatib juga mungkin perlu berlatih di hadapan cermin atau beberapa ahli kariah terlebih dahulu. Biarlah cermin dan kawan-kawan itu mengklasifikasikan gaya penyampaian anda terlebih dahulu.
Selain tajwid, khatib juga perlu mahir meletakkan tanda-tanda bacaan demi kelancaran dan ketepatan nada ucapan. Ini memungkinkan kebarangkalian mesej-mesej yang disampaikan itu meresapi para pendengar akan lebih tinggi. Apatah lagi jika isi yang disampaikan padu dan terus membekas ke sanubari para hadirin.
Isi kena padu
Khutbah seringkali tidak menyentuh isu-isu semasa yang berlaku, sehingga menyebabkan umat Islam merasakan khutbah tidak relevan dan terkini. Isu-isu semasa yang sedang berlaku dalam masyarakat begitu kurang disentuh.
Ia terhad kepada perbincangan mengenai hukum-hakam Islam dan kepentingannya dalam kehidupan. Pendengar ditinggalkan vakum, tanpa hubungkait di antara isi yang disampaikan dengan kehidupan seharian mereka. Kelompongan turut hadir dalam memberikan panduan praktikal bagaimana umat Islam boleh mengaplikasikan prinsip-prinsip beragama dalam kehidupan.

Ini belum lagi dalam bab membincangkan topik-topik yang meluas dan avant-garde seperti keadilan sosial, khidmat masyarakat, dan hubungan dalam kemajmukan beragama. Selagi kandungannya tidak melampaui batas agama dan perundangan, khutbah perlu tampil sebagai medium yang mengasah minda umat Islam untuk lebih kritikal dan berfikiran ke hadapan (forward thinking).
Mungkin untuk dilabel teks berdaya maju dan terkini, khutbah tidak perlu berbicara soal penerobosan angkasa raya seiring ikhtiar Elon Musk. Kadangkala, bersederhana pun masih padu. Ceritalah tentang kejadian seharian yang dekat dengan pendengar. Namun apa yang terjadi, mungkin sebaliknya. Sekadar menyebut contoh-contoh lama dan terkini.
Jika seluruh negara diselubungi kesedihan akibat tragedi kapal terbang MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru, khutbah yang disampai pada seminggu dua selepas itu seharusnya mendampakkan kesedihan yang sama.
Namun, khutbah-khutbah pada Jumaat selepas kejadian dan yang berikutnya masih mengekalkan status quo dengan kepentingan lailatul qadar dan persedian menyambut Aidil Fitri. Tentunya sebahagian besar umat Islam serta jutaan pendengar bukan Islam yang turut mendengar di sisi-sisi surau dan masjid berasa pelik. Dimanakah keprihatinan yang seharusnya dizahirkan umat Islam?
Jika sesebuah negeri atau negara sedang dilanda musibah banjir atau gempa, wajarlah isi khutbah menyentuh soal yang sama. Tentang pengajaran daripadanya; soal bagaimana jemaah boleh membantu pasukan penyelamat dan para mangsa, serta apakah panduan yang perlu ditanggapi sekiranya musibah yang sama melanda kariah kita.
Umat Islam sendiri mungkin harus dipersalahkan kerana kegagalannya bersifat kritikal terhadap mengukuhkan peranan komunikasi sebegini. Kemampuan khutbah masih gagal dioptimumkan, apatah lagi dalam membentuk kemenjadirian dan menyediakan umat Islam dalam era revolusi artificial intelligence (AI) masa kini.
Terlalu banyak yang masih boleh diperhalusi bagi mengangkat martabat khutbah sebagai saluran komunikasi penting, agar segala iktibar dan panduan yang terpancar darinya, dapat meresap terus ke dalam jiwa nurani umat Islam.
AHMAD `ASRI KHALBI ialah pengamal perhubungan awam sejak hampir tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
