Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berpendapat kerajaan masih belum terlewat untuk menarik balik ketetapan yang dibuat berhubung status usul tambahan Umno yang banyak dipolemik sekarang.
Presiden Putra Ibrahim Ali berkata tindakan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menggunakan kuasanya mengecualikan Umno daripada dibatalkan pendaftaran mencipta duluan yang bahaya.
Kata Ibrahim dengan tindakan Saifuddin itu parti politik kini boleh berbuat sesuka hati tanpa perlu risau terhadap kesan undang-undang.
Apabila keputusan yang dibuat tidak sah, katanya, mereka boleh meminta menteri dalam negeri menggunakan kuasa bagi menyelamatkan keadaan.
Ibrahim yang pernah menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kerajaan perlu mengotakan segala janji mereka sebelum ini termasuk melaksanakan pembaharuan tidak dilaksanakan.
"(Adakah) ertinya kedaulatan undang-undang sudah dibakulsampahkan begitu saja. Ke mana perginya prinsip Rukun Negara?
"Rakyat menjangkakan reformasi undang-undang yang makin telus dan rule of law (kedaulatan undang-undang) dijunjung dan tidak di nodai.
"Rupa-rupanya ayam berkokok tapi hari tidak juga siang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Malu sepanjang zaman
Semalam Malaysiakini melaporkan Saifuddin sebagai berkata Kementerian Dalam Negeri memberi pengecualian kepada Umno dalam pematuhan mereka kepada Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.
Ia membabitkan usul tambahan yang diluluskan Perhimpunan Agung Umno 2022 yang mahu agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini.
Isu itu juga menjadi duri dalam daging pada Umno dan menyaksikan pertembungan di antara beberapa tokoh parti terbabit dengan sesetengahnya sudah dipecat.
Ibrahim berkata seseorang menteri dalam negeri perlu adil kepada semua parti dan mengelak daripada amalan pilih kasih.
"Tindakan itu jelas untuk menjaga kepentingan seorang dua individu sehingga martabat negara yang berdaulat mengikut undang-undang dicemari.
"Belum terlewat untuk menteri dalam negeri menarik balik keputusan menggunakan kuasanya itu dan serah kepada ROS (Jabatan Pendaftaan Pertubuhan) yang bertangungjawab atas apa jua urusan berkaitan pertubuhan.
"Jika tidak, rasa malu dan penghinaan ini akan kekal dalam ingatan sepanjang zaman," katanya.
