Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada siapa boleh sebar propaganda politik di masjid Kelantan, kata mufti
Diterbitkan:  Mar 8, 2023 5:24 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Pihak berkuasa agama di Kelantan mengakui ada cubaan untuk membawa masuk unsur politik ke masjid di negeri terbabit namun ia berjaya dikekang.

Menurut Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad sehingga kini institusi masjid di negeri terbabit bebas daripada amalan berkenaan kerana memang tidak dibenarkan.

Katanya tiada sesiapa dibenarkan untuk menyebarkan propaganda politik di masjid.

“Tidak dinafikan ada cubaan untuk memasukkan elemen politik di institusi agama ini (masjid), namun masjid di Kelantan tetap bebas daripada elemen tersebut kerana unsur-unsur itu sememangnya tidak dibenarkan," katanya dipetik Utusan Online hari ini.

Mohamad Shukri berkata dengan dasar itu semua 603 buah masjid di Kelantan terhindar daripada sebarang kempen atau ceramah berkait politik sehingga boleh menggugat perpaduan masyarakat.

Isu larangan ceramah politik - dengan sesetengahnya berselindung di sebalik kelas pengajian atau kuliah agama - menjadi perhatian apabila beberapa negeri mengeluarkan arahan melarang program seumpama itu.

Selangor, Terengganu dan Perak adalah antara negeri yang menyatakan larangan ke atas wakil rakyat atau pemimpin politik menyampaikan ucapan dan ceramah di masjid atau surau di negeri terbabit.

Isu itu menjadi perhatian ekoran pembatalan beberapa ceramah agama membabitkan personaliti popular di Selangor.

Pihak berkuasa agama di negeri terbabit kemudian menjelaskan larangan tersebut dibuat kerana persolaniti berkenaan tidak memiliki tauliah.

Mohamad Shukri berkata larangan membawa masuk unsur politik sudah lama dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

“Sekiranya masjid dikesan melakukan kesalahan (ceramah politik), peruntukan undang-undang yang sudah ditetapkan akan digunakan dan semua keputusan akan diputuskan oleh mahkamah,” katanya.

Pada masa sama kata Mohamad Shukri Maik sentiasa mengawal dan menjaga semua masjid bagi mengelakkan timbulnya sebarang gerakan tertentu.

Katanya masjid merupakan tempat aman yang diutamakan untuk kegunaan ibadah, bukannya lokasi untuk kepentingan mana-mana parti politik.

Menurut Mohamad Shukri walaupun politik tidak dapat diasingkan daripada Islam, parti politik tetap mesti diasingkan dari masjid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS