Sekumpulan penyokong Muhyiddin Yassin mula berkumpul di luar pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi sokongan kepada pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.
Ini selepas Muhyiddin yang juga presiden Bersatu diminta hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk memberi keterangan kepada SPRM hari ini.
Penyokong dilihat hadir sejak jam 9 pagi dengan memakai baju T putih.
Antara kelihatan hadir, Timbalan Pengerusi PN, Ahmad Faizal Azumu, Ahli Parlimen Indera Mahkota merangkap Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah, Ketua Penerangan Parti Bersatu, Razali Idris dan Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.
Semalam, Muhyiddin dalam satu hantaran menerusi Facebook berkata, beliau diminta ke Ibu Pejabat SPRM pada jam 11 pagi hari ini.
Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, seluruh barisan kepimpinan tertinggi parti itu sudah diarah bersiap sedia untuk hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk spekulasi Muhyiddin ditahan.
Sejak petang semalam, spekulasi bertiup kencang bahawa SPRM akan menahan seorang pemimpin tertinggi sebuah parti politik dan mengheretnya ke mahkamah atas dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan.
Sejak pertengahan bulan lepas, beberapa pemimpin Bersatu telah dihadapkan ke mahkamah.
Pada 21 Februari, ketua penerangan Bersatu ketika itu Wan Saiful Wan Jan berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta pada 2022.
Beberapa pertuduhan juga dikenakan terhadap timbalan ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.
Menurut SPRM, pertuduhan-pertuduhan itu berkaitan skim Jana Wibawa - inisiatif untuk mempercepat penyampaian projek bagi merangsang pemulihan ekonomi selepas Covid-19.
Turut didakwa Teo Wee Cheng, yang menjalankan perniagaan di kawasan Pagoh, kebetulan kubu kuat Muhyiddin.
