Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) Bersatu , Mohamed Azmin Ali menyifatkan siasatan SPRM ke atas presidennya, Muhyiddin Yassin oleh hari ini sebagai satu permulaan kepada usaha melumpuhkan parti itu.
Menurut Azmin, ia juga permulaan gerakan yang akan berterusan terhadap parti itu.
“Kita lihat ini satu permulaan gerakan masa yang akan berterusan kerana kita lihat ada usaha yang terancang melumpuhkan kebangkitan rakyat,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan ibu pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

Azmin berkata demikian ketika mengulas tindakan SPRM memanggil Muhyiddin untuk memberi keterangan di ibu pejabat badan siasatan itu.
Menurut Azmin, dia yakin Muhyiddin tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Saya bersyukur dengan rakyat dan kepimpinan PN turun kerana kita yakin Tan Sri Muhyiddin tidak bersalah dan tidak wajar dituduh atas apa juga pertuduhan.
“Bagaimanapun sebagai pendukung parti yang sentiasa menegaskan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan, integriti, menolak rasuah, kleptokrasi, kami akan terus bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Sejak pertengahan bulan lepas, beberapa pemimpin Bersatu telah dihadapkan ke mahkamah.
Pada 21 Februari, ketua penerangan Bersatu ketika itu Wan Saiful Wan Jan dikenakan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta pada 2022.
Beberapa pertuduhan juga dikenakan terhadap timbalan ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.
Turut didakwa adalah Teo Wee Cheng, yang menjalankan perniagaan di kawasan Pagoh, yang kebetulan adalah kubu bekas perdana menteri itu.
Pertuduhan-pertuduhan itu adalah berkaitan skim Jana Wibawa - inisiatif untuk mempercepat penyampaian projek bagi merangsang pemulihan ekonomi selepas Covid-19.
