Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi terus sampaikan kuliah di masjid
Diterbitkan:  Mar 10, 2023 2:14 PM
Dikemaskini: 8:59 AM
  • Dikemas kini dengan maklumat tambahan.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini menyampaikan kuliah dhuha mingguan seperti biasa di Masjid Rusila di Marang, Terengganu.

Perkara itu dilaporkan beberapa media dan rakamannya juga dimuat naik di media sosialnya hari ini.

Menurut Facebooknya, dia turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid sama

Sebelum ini, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu melarang ahli politik termasuk ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri (Adun) serta senator daripada memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu.

Mereka turut dilarang menyampaikan khutbah Jumaat. Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran daripada Maidam.

Menurut portal Utusan Malaysia, Hadi berbuat demikian di masjid berkenaan selepas Majlis Penyerahan Tabung Bencana Gempa Bumi Turkiye dan Syria, peringkat PAS Terengganu, di situ.

Berdasarkan maklumat terkini di portal Portal Data Terbuka Sektor Awam, yang dikemas kini setakat  4 Mac 2021, nama Hadi tidak disenaraikan sebagai penerima tauliah negeri itu.

Portal itu menyediakan pangkalan data kepada rakyat bagi mencapai dan memuat turun set data terbuka kerajaan secara dalam talian.

Sementara itu, PAS negeri akan memastikan semua ahli politik termasuk wakil rakyat parti itu memohon tauliah daripada Maidam untuk membolehkan mereka mengajar serta menyampaikan kuliah agama di masjid dan surau.

"Setakat ini ada dalam kalangan wakil rakyat PAS sudah memiliki tauliah dan yang masih tidak ada (tauliah) akan memohon (secepat mungkin)," dia dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas menghadiri kuliah dhuha mingguan disampaikan Hadi.

Dia bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada Hadi mempunyai tauliah atau tidak.

Arahan larangan tersebut - yang bertarikh 2 Mac - dikeluarkan susulan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita apabila ada ahli politik mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran daripada Maidam.

Hadi pada 4 Mac lalu, menegaskan bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau.

Sebaliknya, menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai “politik Islam”.

Malah, katanya, “Nabi SAW pun cakap politik dalam khutbah”.

Lihat Komen
ADS